Empat masih belum tandatangan dokumen khas sokong Anwar

Johari Abdul. FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Johari Abdul. FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PORT DICKSON - [DIKEMASKINI] Empat Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri masih belum menandatangani dokumen khas menyatakan sokongan penuh kepada presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Koordinator Majlis Pengerusi-pengerusi Pimpinan Negeri, Datuk Johari Abdul berkata, empat negeri yang masih belum menurunkan tandatangan ialah Selangor, Sarawak, Perak dan Johor.

Menurutnya, beliau telah menghubungi semua pengerusi namun ada beberapa pemimpin tidak memberikan sebarang respons.

“Yang masih belum tandatangan adalah Selangor (Amirudin Shari). Kita ada hubungi beliau dan beliau tidak menjawab. Mungkin beliau sibuk menguruskan urusan berkaitan negeri.

“Perak pun belum dan seperti kita tahu, Farhash Wafa (Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak) kini masih disiasat polis. Hassan Karim (Pengerusi PKR Johor) pula saya difahamkan telah menghantar surat peletakan jawatan.

“Baru Bian (Pengerusi PKR Sarawak) pula, kita masih belum terima jawapan,” katanya pada sidang akhbar ketika menghadiri Temurapat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di sini petang tadi.

Semalam, enam daripada 14 Pengerusi PKR Negeri bermesyuarat dan mengambil ketetapan mereka akan menyokong sepenuhnya presiden parti dan usaha keras beliau untuk membangunkan parti.

“Kami berdiri teguh di belakang beliau dalam menghadapi apa jua cabaran dan memberi komitmen tanpa berbelah bahagi kepada beliau dalam usaha memimpin negara ke tahap diharapkan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Kami yakin Anwar seorang pemimpin yang akan menunaikan janji parti kepada rakyat dan kami akan bersama beliau untuk pastikan semua ini terlaksana,” kata Johari pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sungai Petani itu menyatakan tiada tindakan bakal diambil sekiranya ada pemimpin negeri yang enggan menurunkan tandatangan pada dokumen khas tersebut.

“Kalau tak tandatangan, tiada tindakan akan diambil. Ini sukarela, tiada dalam perlembagaan parti pun dan ini adalah inisiatif kami.

“Kalau tidak tandatangan, tidak menggambarkan ada perpecahan dalam parti. Mereka boleh 'sign' dan hubungi kami bila-bila masa. Semuanya secara sukarela,” katanya.