Usaha jejak seekor lagi pak belang diteruskan

Anggota Jabatan Perhilitan Terengganu memasang perangkap di lokasi baharu pada operasi menangkap harimau belang yang masuk hari ketiga hari ini.
Anggota Jabatan Perhilitan Terengganu memasang perangkap di lokasi baharu pada operasi menangkap harimau belang yang masuk hari ketiga hari ini.
A
A
A

DUNGUN - Operasi menangkap seekor lagi harimau belang yang didakwa berkeliaran di Kampung Besol Lama, Bukit Besi, diteruskan hari ini dengan dua buah perangkap dialihkan ke lokasi baharu yang dikenal pasti.

Operasi membabitkan seramai sembilan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu memasuki hari ketiga hari ini bermula sekitar jam 9 pagi tadi.

Kekuatan keanggotaan itu dikurangkan daripada 20 anggota Jabatan Perhilitan dalam operasi hari pertama dan kedua berikutan kejayaan Jabatan Perhilitan menangkap salah seekor harimau terbabit semalam.

Usaha menjejaki seekor lagi pak belang berkenaan diteruskan merangkumi radius satu kilometer dari kawasan kampung tersebut.

Operasi itu turut melibatkan kerja pemasangan dua buah perangkap di lokasi baharu yang dikenal pasti berdasarkan kepada petunjuk baharu yang diperoleh.

Seekor harimau belang jantan yang dianggarkan berusia 5 tahun berjaya ditangkap Jabatan Perhilitan kira-kira jam 3.30 petang semalam selepas hampir 24 jam operasi mengesan dijalankan.

Harimau belang yang ditangkap semalam disahkan dari spesies Harimau Malaya.
Harimau belang yang ditangkap semalam disahkan dari spesies Harimau Malaya.

Pak belang seberat kira-kira 130 kilogram (kg) itu disahkan dari spesies Harimau Malaya.

Artikel Berkaitan:

Harimau itu ditangkap dalam kawasan belukar kira-kira 500 meter dari jalan utama kampung terbabit selepas ditembak dengan ubat pelali.

Sejak tiga hari lalu, rakaman video dan gambar harimau belang berkeliaran di Kampung Besol Lama, Bukit Besi menggemparkan pengguna media sosial di negara ini dan secara tidak langsung nama Bukit Besi juga menjadi sebutan ramai.

Lebih menarik perhatian apabila dua ekor harimau belang yang berkeliaran dilihat agak jinak seolah-olah ia harimau peliharaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pak belang berkeliaran di Bukit Besi