33 rakyat Malaysia terima biasiswa kerajaan Hungary

33 rakyat Malaysia bakal melanjutkan pengajian di Hungary pada tahun ini dengan biasiswa penuh kerajaan negara itu melalui program Biasiswa Stipendium Hungaricum.- Foto Bernama
33 rakyat Malaysia bakal melanjutkan pengajian di Hungary pada tahun ini dengan biasiswa penuh kerajaan negara itu melalui program Biasiswa Stipendium Hungaricum.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga puluh tiga rakyat Malaysia bakal melanjutkan pengajian di Hungary pada tahun ini dengan biasiswa penuh kerajaan negara itu melalui program Biasiswa Stipendium Hungaricum.

Kumpulan kedua rakyat Malaysia bagi pengajian peringkat siswa, siswazah dan lepasan ijazah itu, yang bakal memulakan semester pertama mereka pada September, akan dibiayai dari segi yuran tuisyen, elaun bulanan, penginapan serta insurans perubatan.

Duta Hungary ke Malaysia Attila Kali berkata biasiswa itu, yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia susulan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kedua-dua kerajaan tahun lepas, adalah antara hasil positif hubungan dua hala selama 50 tahun antara Hungary dan Malaysia.

“Kami gembira melihat jumlah yang semakin meningkat. Tahun lepas hanya 15 kerana ketika MoU itu disempurnakan, tarikh akhir sudah berlalu.

“Kami melihatnya sebagai satu pelaburan yang baik untuk masa depan kami... untuk memiliki begitu ramai rakan, duta mini Hungary di Malaysia,” katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama di kedutaan negara itu di sini pada Jumaat selepas sesi taklimat bersama penerima biasiswa.

Di bawah MoU itu, kerajaan Hungary akan menawarkan 40 biasiswa setiap tahun bagi tempoh pengajian selama tiga tahun bermula tahun akademik 2018 dalam pelbagai program termasuk pertanian, seni bina dan warisan budaya, sains kesihatan, sains semula jadi dan sains alam sekitar.

Kali berkata selain akses kepada pendidikan berkualiti dan ijazah yang diiktiraf di seluruh Eropah dan sebagainya, pelajar memilih Hungary kerana kos hidupnya yang berpatutan serta kehidupan persekitaran yang selamat dan mesra.

Biasiswa Stipendium Hungaricum diperkenal oleh kerajaan Hungary pada 2013 dan dilaksanakan Yayasan Awam Tempus mulai 2015.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, lebih 60 negara menjadi rakan kongsi dalam program itu menerusi kerjasama pendidikan dua hala.

Mohamad Syafiq Abdul Razak, 26, yang kini mengikuti pengajian peringkat lepasan ijazah di Universiti Pannonia di bandar Veszprem, memuji fasiliti dan pensyarah di universiti itu sebagai amat baik dan berkata pengalaman tersebut menyebabkan beliau lebih menghargai subjek pengajiannya.

Mengikuti Pengajian peringkat Sarjana dalam Patologi Tumbuh-Tumbuhan, anak kelahiran Ipoh itu turut menggalakkan rakyat Malaysia lain merebut peluang yang ditawarkan kerajaan Hungary.

“Ia hebat. Berada di Hungary, yang merupakan Kawasan Schengen, pelajar juga boleh menikmati dasar pergerakan bebas ke 26 negara,” katanya sambil menambah bahawa beliau telah mengembara ke negara Eropah lain seperti Portugal dan Sepanyol setakat ini.

Sementara itu, penerima tahun ini, Mohd Rifqi Rafsanjani, 28, berkata beliau tidak sabar untuk memulakan pengajian peringkat lepasan ijazahnya di Universiti Pecs, yang merupakan universiti tertua di Hungary.

“Untuk belajar di Hungary dengan biasiswa penuh adalah satu peluang yang jarang berlaku kepada saya. Antara perkara paling menarik bagi saya ialah ijazah yang diiktiraf Eropah.

"Dengan ijazah ini, saya akan mempunyai peluang lebih baik dalam kerjaya dan juga (peluang untuk) mengikuti pengajian di peringkat PhD di negara Eropah lain,” katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai biasiswa, sila layari www.studyinhungary.hu.- Bernama