Gabungan Pas-Umno bukan ancaman: Ku Li

Tengku Razaleigh menyampaikan cenderahati kepada Suraya selepas majlis berkenaan.
Tengku Razaleigh menyampaikan cenderahati kepada Suraya selepas majlis berkenaan.
A
A
A

GUA MUSANG - Gabungan atau kerjasama secara rasmi antara UMNO dan Pas tidak akan mengancam kedudukan mana-mana pihak yang terlibat.

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, penggabungan ini akan memberi manfaat kepada rakyat yang kini berada dalam situasi sukar.

Kata Ahli Parlimen Gua Musang ini, demi Melayu Islam, inilah kejayaan yang bakal dikecapi selepas sejarah pada tahun 1977, yang nyata merugikan dua-dua pihak.

"Ada yang mengatakan pakatan ini akan mengancam kedudukan sesetengah pihak, tapi saya rasa ia sengaja ditimbulkan dan berfikiran jahat.

"Pakatan ini satu kesaktian, bukan sahaja beri kekuatan kepada kita malah mempercepatkan pembangunan untuk rakyat.

"Kita memerlukan keikhlasan semua pihak dan bersatu demi perpaduan negara dan rakyat. Perpaduan ini akan menjanjikan rakyat dan dunia kepada era yang lebih baik," katanya.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang, berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian di Dewan Bukit Cekati, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaacob, Timbalan Ketua Umno Bahagian, Mohd Syahbuddin Hashim, Naib Ketua, Ab Aziz Yusoff dan Ketua Penerangan, Amran Arifin.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh berkata, rundingan secara menyeluruh dalam pakatan ini sedang dilakukan dan bakal diumumkan sedikit masa lagi.

"Alhamdulillah, kelompok akar umbi juga dilihat menyambut baik pakatan ini dan ada yang sudah berjinak-jinak dalam kerjasama sekaligus melupakan sengketa lama.

"Kita menyambut baik usaha ini demi rakyat dan diharapkan ia dapat dimeterai secepat mungkin," katanya.