Sungai Lasir keruh: Terengganu arah henti pembalakan

Pelesen diminta buat kerja pemulihan air

Keadaan Air Terjun Lasir di Tasik Kenyir yang keruh. Gambar kecil:Ariffin Deraman
Keadaan Air Terjun Lasir di Tasik Kenyir yang keruh. Gambar kecil:Ariffin Deraman
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Kerajaan negeri telah menahan sementara semua aktiviti pembalakan berhampiran kawasan Air Terjun Lasir di Tasik Kenyir yang dikatakan menjadi punca kekeruhan air di kawasan pelancongan itu.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, kerajaan melalui Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) juga telah mengarahkan pelesen menjalankan kerja pemulihan dan mengambil langkah mitigasi (mengurangkan) kesan aktiviti itu.

Menurutnya, JPNT juga telah mengarahkan supaya pihak pelesen mengatasi isu hakisan tanah jambatan ke dalam anak sungai, sekali gus memastikan impak kekeruhan air sungai dapat diminimumkan.

“Kita telah dimaklumkan mengenai air sungai Lasir yang didapati keruh kerana aktiviti pembalakan yang tidak mematuhi spesifikasi Garis Panduan Jalan Hutan 2010 (Pindaan 2013) yang disyaratkan oleh JPNT.

“Hasil siasatan yang dilakukan pelbagai agensi kerajaan termasuk Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan JPNT, kita dapati kekeruhan air sungai dan kawasan Air Terjun Lasir berpunca daripada aktiviti pembinaan jalan hutan dan laluan lori balak serta projek pembinaan jambatan melintasi anak sungai di hutan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara aktiviti pembinaan jalan hutan dan laluan lori balak di kawasan berkenaan. FOTO IHSAN PEMBACA
Antara aktiviti pembinaan jalan hutan dan laluan lori balak di kawasan berkenaan. FOTO IHSAN PEMBACA

Menurutnya, lokasi kompartmen itu berada di hulu anak sungai yang mengalir ke Sungai Lasir dan terdapat lebihan tanah yang mengalir ke sungai ketika berlakunya hujan, yang kemudiannya mengalir ke Sungai Lasir dan melalui kawasan Air Terjun Lasir.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai aktiviti pembalakan di hutan berhampiran sehingga menyebabkan Air Terjun Lasir keruh dan tidak sesuai untuk dikunjungi pelancong.

Artikel Berkaitan:

“Kita akan pantau pelaksanaan langkah pemulihan oleh pihak pelesen tersebut sebelum membenarkan semula aktiviti pembalakan.

“KETENGAH juga telah diarahkan untuk menutup sementara kawasan Air Terjun Lasir kepada semua pengunjung sehingga keadaan air kembali pulih dan kerajaan negeri berpuas hati dengan kerja-kerja pemulihan yang dilakukan,” katanya.