Guru rugi RM4,300 diperdaya Macau Scam

Noorzainy
Noorzainy
A
A
A

KEPALA BATAS- Seorang guru kerugian RM4,300 selepas diperdaya individu yang menyamar pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Mangsa yang berusia 40 tahun itu dikatakan menerima panggilan daripada seorang wanita yang mengakui pegawai SPRM dan menyatakan dia telah terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram yang melibatkan pengeluaran jumlah wang yang tinggi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, panggilan berkenaan kemudian kononnya disambungkan kepada beberapa pegawai polis di Bukit Aman bagi meyakinkan lagi mangsa.

Menurutnya, selepas disambungkan, mangsa dimaklumkan yang waran tangkap terhadapnya telah dikeluarkan bagi tujuan siasatan.

"Akibat takut ditangkap, mangsa mengikut semua arahan yang diberikan termasuk membuat dua transaksi pemindahan wang berjumlah RM4,300 ke dalam nombor akaun yang diberikan.

"Wang berkenaan kononnya dipindahkan ke akaun pegawai juruaudit Bank Negara Malaysia bagi tujuan siasatan," katanya ketika dihubungi di sini.

Noorzainy berkata, mangsa hanya sedar diperdaya selepas dia memaklumkan perkara itu kepada suaminya sebelum diberitahu dia sebenarnya diperdaya oleh scammer.

Kesal dengan apa yang berlaku, wanita berkenaan tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, orang ramai diingatkan agar tidak sesekali mempercayai individu yang tidak dikenali dan jangan mudah panik apabila dihubungi oleh individu ataupun pihak yang mengaku sebagai anggota penguat kuasa.

Katanya, siasatan lanjut masih lagi diteruskan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.