Tiga sekolah mubaligh tidak ditutup

SMK Convent Light Street. (Gambar kecil, Chow Kon Yeow)
SMK Convent Light Street. (Gambar kecil, Chow Kon Yeow)
A
A
A

GEORGETOWN - Tiga sekolah mubaligh di negeri ini tidak akan ditutup berikutan pemiliknya mengesahkan mereka tidak akan menjual dan membangun semula tapak tanah di semua sekolah berkenaan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat selama sejam bersama wakil delegasi dari The Sisters of Infant Jesus Malaysia yang diadakan di Komtar semalam.

Menurutnya, pertemuan itu diadakan di antara kerajaan negeri yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy bersama sembilan delegasi yang diketuai The Lady Superior of Saint Maur, Sr Mary Theresa Chua.

"Kerajaan negeri berterima kasih kepada wakil delegasi dari The Sisters of The Infant Jesus Malaysia yang hadir untuk memberi gambaran jelas dan perkembangan terkini mengenai isu tapak ketiga-tiga sekolah mubaligh berkenaan.

"Kerajaan negeri dimaklumkan bahawa mereka (The Sisters of The Infant Jesus Malaysia) akan mengekalkan karektor dan aliran (ethos) sekolah mubaligh tersebut. Kita merasa lega apabila mereka mengesahkan bahawa tiada niat untuk menjual tanah dan bangunan sekolah untuk pembangunan semula," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri juga dimaklumkan bahawa The Sisters of The Infant Jesus Malaysia berkemungkinan akan menyediakan pendidikan sesuai dengan aliran sekolah mubaligh tersebut.

Terdahulu, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan tiga sekolah mubaligh akan ditutup pada 2024 selepas pemilik tanah akan mengambil semula tanah berkenaan.

Tiga sekolah yang terlibat adalah Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Convent Light Street, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Light Street dan SMK Convent Pulau Tikus yang mana, SRK dan SMK Convent Light Street dibina atas tanah primer dan sekunder terletak dalam tapak warisan.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Kerajaan Pulau Pinang akan memohon kepada Kementerian Pendidikan untuk mencari lokasi lain yang sesuai bagi penempatan semula tiga buah sekolah tersebut.

Difahamkan, pemilik tanah berkenaan memohon agar kerajaan mengambil alih sekolah tersebut pada 1972 untuk digunakan sebagai sekolah bantuan modal.

Bagaimanapun, mereka memohon untuk sekolah tersebut dikembalikan semula pada 2016 lalu dan ia diluluskan oleh Kementerian Pelajaran pada akhir tahun lalu.