Loji rawatan alami pencemaran bau mula operasi pagi ini

Abdul Raof
A
A

SHAH ALAM - Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1), Fasa 2 dan Fasa 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang yang mengalami pencemaran bau dan menyebabkan hampir 1.1 juta akaun pelanggan terjejas kembali beroperasi sepenuhnya pagi ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, pihaknya masih dalam proses meningkatkan serta menstabilkan paras kolam dan tekanan di sistem agihan bagi proses pemulihan air secara berperingkat.

Menurutnya, hasil pemantauan sehingga jam 6 pagi ini, peratusan pemulihan keseluruhan kawasan masih lagi rendah di tahap 19 peratus, pihaknya tidak dapat memberikan jangkamasa pemulihan mengikut kawasan buat masa ini.

Beliau berkata, Unit Kualiti Air Selangor dengan kerjasama pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca pencemaran.

"Hasil siasatan berdasarkan tahap pencemaran bau yang tinggi adalah berpunca dari kawasan Sungai Liam, Batang Kali, Hulu Selangor.

Pelanggan yang masih belum menerima bekalan boleh mendapatkan bantuan bekalan di PKS dan pili awam dinyatakan dalam jadual.
Pelanggan yang masih belum menerima bekalan boleh mendapatkan bantuan bekalan di PKS dan pili awam dinyatakan dalam jadual.

"Agensi penguat kuasa yang berkenaan akan membuat pengumuman kepada pihak awam berhubung pencemaran dari kawasan tersebut," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengaktifkan 16 pusat khidmat setempat (PKS) dan 17 lokasi pili awam bermula jam 9 pagi hari ini bagi mengagihkan bantuan air kecemasan kepada pelanggan-pelanggan yang terjejas.

"Memandangkan insiden ini melibatkan kawasan berskala besar, pihak kami tidak dapat memenuhi permintaan bantuan bekalan air melalui lori tangki air kepada semua pelanggan yang terjejas.

"Bantuan lori tangki air digerakkan dengan keutamaan kepada pelanggan dan premis kritikal serta kecemasan.

"Justeru, bagi mengelakkan kelewatan penerimaan bekalan air melalui lori tangki air, pelanggan dinasihatkan agar mendapatkan bantuan air kecemasan di PKS dan pili awam yang telah disediakan," katanya.

Abdul Raof berkata, pihaknya dengan bantuan agensi yang berkaitan sedaya upaya memberi bantuan dan mempercepatkan pemulihan ke semua kawasan yang terlibat.

Pelanggan yang masih belum menerima bekalan boleh mendapatkan bantuan bekalan di PKS dan pili awam dinyatakan dalam jadual.
Pelanggan yang masih belum menerima bekalan boleh mendapatkan bantuan bekalan di PKS dan pili awam dinyatakan dalam jadual.

Katanya, aplikasi telefon bimbit Air Selangor sedang mengalami masalah teknikal buat masa ini dan untuk mendapatkan maklumat dan status terkini pelanggan boleh melayari laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook “Air Selangor” dan Twitter @airselangor atau hubungi di talian 15300.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan sebanyak 1,133 kawasan melibatkan 1,166,842 akaun pelanggan di wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas susulan henti tugas LRA SSP1, SSP2 dan SSP3, semalam.