TH patuhi larangan penggunaan gas memasak cecair

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

MAKKAH - Lembaga Tabung Haji (TH) mematuhi langkah dibuat kerajaan Arab Saudi yang melarang penggunaan gas memasak cecair di semua kawasan di Tanah Suci semasa musim haji kali ini.

Pengurus Operasi TH (Katering) Mohd Nober Kassim berkata, kesemua tujuh dapur atau syarikat perkhidmatan katering yang diberikan kontrak oleh TH mematuhi langkah itu dan TH komited untuk memastikan kepatuhan itu semasa tempoh Masyair.

“Memasak ketika tempoh Masyair dikendalikan oleh pengurus operasi Masyair yang akan memastikan semua aktiviti memasak mematuhi langkah yang dikenakan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Pengurus Katering dan Perkhidmatan Alwafa, Ahmad Abdullah yang mengendalikan satu daripada dapur kontrak TH dalam sidang media yang sama berkata, langkah itu tidak akan memberi kesan langsung kepada operasi pihaknya buat masa ini.

“Pihak kami tiada masalah di dapur, tetapi ada hotel di Tanah Suci yang akan terjejas. Tetapi pada masa hadapan, kerajaan mahu kami menggunakan dapur elektrik dan kami akan mematuhinya,” katanya.

Pada 14 Julai lepas, Saudi Press Agency (SPA) melaporkan Menteri Dalam Negeri Putera Abdulaziz bin Saud bin Naif bin Abdulaziz mengeluarkan larangan itu untuk memastikan keselamatan jemaah haji terjaga dan dapat melakukan ibadah haji dengan lancar dan selamat.- Bernama

Artikel Berkaitan: