JDT seri 3-3 dengan Terengganu

Perlawanan sengit antara JDT dan Terengganu. foto - JOHOR SOUTHERN TIGERS
Perlawanan sengit antara JDT dan Terengganu. foto - JOHOR SOUTHERN TIGERS
A
A
A

HASRAT penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk melengkapkan aksi Liga Super terakhir dengan kemenangan musnah selepas terikat 3-3 dengan Terengganu, sebentar tadi.

Dalam aksi di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin itu, nasib nyata bukan berpihak kepada tuan rumah meski sudah mendahului jumlah jaringan sehingga minit ke-78.

Bermula babak pertama, pasukan tuan rumah dilihat selesa mengawal permainan apabila cubaan demi cubaan berjaya dilancarkan menerusi gandingan Diogo Santo dan Safawi Rasid.

Bagaimanapun, pelawat dilihat lebih cepat panas apabila beberapa kali berpeluang menguji gawang JDT sehingga memperoleh sepakan sudut pada minit ke-23.

Tirai jaringan akhirnya dipecahkan Terengganu menerusi pemain tengah, Sanjar Shaakhmedov selepas merembat masuk bola dari luar kotak penalti hasil sepakan sudut diambil Lee Tuck.

Tersentak dengan jaringan itu, tuan rumah akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-30 selepas lorongan leret Leandro Velasquez gagal diselamatkan penjaga gol.

Tidak perlu menunggu lama, JDT kemudiannya berjaya menambah satu lagi jaringan hasil gerakan individu menarik penyerangnya, Safawi Rasid pada minit ke-35.

Gol ketiga JDT disempurnakan Gonzalo Cabrera pada minit ke-44 sekali gus meletakkan tuan rumah dengan kedudukan selesa 3-1 sebelum berakhir babak pertama perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Penguasaan aksi ditunjukkan JDT kian terlerai pada minit ke-64 apabila tampanan ke belakang, pertahanan pelawat, Serhii Andrieiev gagal diselamatkan Farizal Marliaz.

Kapten Terengganu, Lee Tuck melenyapkan hasrat tuan rumah untuk memperoleh kemenangan dalam aksi berkenaan selepas sepakan percuma secara leret diambilnya pada minit ke-78 gagal dibaca penjaga gol JDT.

JDT turut berpeluang menambah jaringan keempat apabila dikurniakan sepakan penalti pada minit ke-89 namun gagal disempurnakan Diogo Santo.