Sertai Bersatu demi kepentingan rakyat


Noor Azmi (kiri) bersama wartawan Sinar Harian Khairil Anwar semasa Sinar Live hari ini.
Noor Azmi (kiri) bersama wartawan Sinar Harian Khairil Anwar semasa Sinar Live hari ini.
A
A
A

BAGAN SERAI - "Semasa saya menjadi Ahli Parlimen Bebas, hati saya sudah cenderung kepada Bersatu.

Itu kata-kata Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali semasa bersiaran secara langsung di Sinar Live di laman Facebook Sinar Harian Perak, hari ini bertajuk 'Mengapa Saya Pilih Bersatu'.

Menurut Noor Azmi, faktor utama dia memilih untuk menyertai Bersatu adalah demi kepentingan rakyat susah seperti golongan petani dan nelayan di Bagan Serai terbela apabila menjadi ahli kepada parti komponen kerajaan yang memerintah.

"Lima bulan lima hari saya duduk di dalam kerusi bebas meneliti semua aspek dan bila saya buat pilihan bersama Bersatu, saya lihat tentang perjuangan itu sendiri, bagi saya Bersatu adalah DNA Umno, banyak pemimpin Umno dalam itu.

"Saya juga melihat senario politik sekarang di mana saya nak duduk untuk Parlimen Bagan Serai kuat dan mendapat peruntukan dalam membantu mereka yang susah, di mana saya bercakap tentang kos sara hidup, bagaimana nak naikkan pendapatan mereka dan membawa projek berimpak besar," katanya.

Noor Azmi turut meminta mana-mana individu atau pihak lain supaya menghentikan permainan politik, sebaliknya memberi tumpuan untuk membantu rakyat yang sudah memilih mereka.

"Bagi saya apa sahaja orang kata itu persepsi dia kerana saya tetap akan turun ke kawasan saya untuk melihat rakyat yang memilih saya, oleh itu saya memerlukan kekuatan dan kekuatan saya adalah dengan menjadi wakil rakyat kerajaan.

"Ramai orang tak faham peruntukan yang saya dapat dari kerajaan bukan boleh dicedok untuk poket sendiri tetapi untuk rakyat kerana Ahli Parlimen atau wakil rakyat mereka ada elaun mereka sendiri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain soal kepentingan rakyat, Noor Azmi turut memaklumkan faktor lain dia menyertai Bersatu adalah kerana melihat gandingan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam parti berkenaan.

"Saya melihat pengalaman Tun bersama Muhyiddin begitu mantap dan saya nak prinsip perjuangan dan perkasakan Melayu dan Islam di mana kepimpinan Tun bukan calang-calang.

"Bagi saya, dunia ini sekejap sahaja, kalau jadi pemimpin jangan menipu, jangan mencuri, jangan hidup mewah dengan duit curi, tukar kereta, rumah besar," katanya.

Sementara itu ditanya sekiranya BN menang dan menjadi kerajaan semula pada PRU15 adakah beliau akan melompat parti lagi atau tidak, Noor Azmi berkata dia tidak mahu memikirkan soal berkenaan.

"Soal itu tidak ada di dalam fikiran saya kerana apa yang penting saya nak fokus dalam lima tahun ini, rakyat Bagan Serai terbela kerana mereka membuat pilihan mengundi saya dan saya amat berterima kasih kepada mereka," katanya.