DUN Perak: Usul wajibkan semua ADUN isytihar harta dibentang

Koo Ham (tengah) ketika sidang media menjelaskan mengenai perjalanan sidang DUN Perak yang akan berlangsung minggu hadapan.
Koo Ham (tengah) ketika sidang media menjelaskan mengenai perjalanan sidang DUN Perak yang akan berlangsung minggu hadapan.
A
A
A

IPOH - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan membentangkan usul pengisytiharan harta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada persidangan yang akan bermula 23 Julai nanti.

Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, usul tersebut dikemukakan oleh ADUN Pasir Bedamar yang akan menjadikan Perak negeri pertama melaksanakan peraturan tersebut selepas Parlimen mewajibkan semua Ahli Parlimen mengisytihar harta.

Menurutnya, pelaksanaan usul tersebut hanya akan berkuat kuasa selepas ia dipersetujui secara majoriti oleh ADUN selepas dibentangkan nanti.

"Ini merupakan satu usul sama yang dibawa di Parlimen iaitu demi akauntabiliti dan ketelusan, semua ADUN Perak dikehendaki mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri, suami, anak dan akaun pemegang amanah.

"Pengisytiharan itu akan diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan dalam masa tiga bulan selepas usul diluluskan kemudian seperti biasa di Parlimen juga, saya akan mengemukakan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dipaparkan," katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Koo Ham berkata, selain usul berkenaan, terdapat beberapa pembentangan akan dibuat pada sidang DUN kali ini termasuk mengenai penyelarasan elaun dan keistimewaan Yang Dipertua Negeri, Timbalan Yang Dipertua Negeri dan ADUN-ADUN.

Katanya, selain itu, pembentangan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) Perak mengenai Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) juga akan dibuat pada persidangan kali ini.

"Kita akan ikut peraturan, jika ada mana-mana ADUN hendak membahaskan laporan ini, ia perlu diusulkan untuk dibahaskan.

Artikel Berkaitan:

"Oleh kerana perkara yang dikemukakan kepada Dewan tidak banyak, hanya tiga hari diperlukan pada persidangan kali ini," katanya.

Menurutnya, tempoh itu diakui lebih pendek daripada yang dirancangkan pada awal tahun lalu iaitu selama lima hari.

Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya terdapat permintaan daripada pihak kerajaan untuk melanjutkan tempoh persidangan itu, pihaknya akan mempertimbangkan perkara tersebut.