'Hanya dengar khabar angin sahaja'

Mohd Khuzzan Abu Bakar
Mohd Khuzzan Abu Bakar
A
A
A
JOHOR BAHRU - Ahli Dewan Undangan Negeri Semerah, Mohd Khuzzan Abu Bakar memaklumkan dirinya tidak mempunyai sebarang makluman lanjut mengenai peletakan jawatan Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim baru-baru ini.

Malah katanya, dirinya juga tidak jelas dengan status terkini Ahli Parlimen Pasir Gudang itu memandangkan hanya mendengar dakwaan tersebut menerusi khabar angin sahaja.

“Saya tidak maklum lagi (peletakan jawatan Hassan), ada dengar khabar-khabar sahaja, jadi tidak boleh nak ulas lanjut.

“Semua jawapan adalah tertakluk kepada keputusan presiden parti (Datuk Seri Anwar Ibrahim), saya juga tidak pasti yang beliau (Hassan) sudah hantar surat rasmi kepadanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sijil Malaysian Book Of Record (MBOR) kepada Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) setelah menjuarai Liga Super buat tahun keenam berturut-turut di Dataran Bandaraya di sini hari ini.

Ditanya sama ada dirinya mempunyai masalah dengan perubahan struktur parti itu, Mohd Khuzzan yang juga Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri memberitahu, dirinya sentiasa bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan.

“Saya sedia dan tidak kisah untuk bekerja dengan sesiapa,” katanya.

Terdahulu, Gabungan Ketua Cabang PKR Negeri Johor memaklumkan Hassan telah melepaskan jawatannya melalui kumpulan aplikasi sosial WhatsApp Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Johor pada 11 Julai lalu.

Difahamkan, gabungan itu juga mencadangkan kepada presiden parti supaya melantik Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon sebagai pengerusi baharu, namun masih belum menerima jawapan.

Artikel Berkaitan: