Sasar sifar dadah di empat lokasi berisiko tinggi

Lim Chee Khoon
A
A

SABAK BERNAM - Polis yakin mampu mencapai sifar dadah di empat 'port' penagihan dan pengedaran dadah berisiko tinggi di sepanjang pesisir pantai daerah ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, empat kawasan itu ialah di Bagan Sungai Besar, Teluk Rhu, Bagan Sungai Burong dan Pasir Panjang.

Menurutnya, kejayaan mengurangkan kadar sifar dadah itu hasil daripada pemantauan dan operasi secara berterusan dijalankan sejak Januari lalu.

"Jika dahulu, empat port penagihan ini menjadi tumpuan penagih berkeliaran, kini kita dapat lihat mereka semua tidak lagi kelihatan di ‘port’ berkenaan.

"Kita akan meneruskan operasi ini tanpa henti termasuk memusnahkan pondok penagihan di kawasan paya bakau bagi memastikan kawasan ini bebas sepenuhnya daripada sebarang gejala tidak sihat," katanya.

Chee Khoon berkata, polis turut mendapat kerjasama daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam dalam usaha membasmi gejala dadah.

"Misalnya, kita sentiasa menjalankan pemantauan dan serbuan di Bagan Sungai Besar dan berusaha menukar status kawasan itu daripada zon merah kepada zon hijau," katanya.

Dalam pada itu katanya, pihaknya berjaya menyelesaikan kes narkotik iaitu individu dikehendaki (wanted person) sebanyak 60 peratus.

"Setakat hari ini, seramai 273 individu dikehendaki dan kita berjaya menyelesaikan 165 kes dengan baki 108 yang masih belum ditahan.

"Ini usaha yang kita lakukan dalam 'Ops Kesan' yang dijalankan berterusan sejak dilancarkan 1 Januari lalu," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia