Lelaki Korea Selatan bakar diri di hadapan Kedutaan Jepun

Lelaki terbabit membakar dirinya di dalam kereta yang diparkir di hadapan Kedutaan Jepun di Seoul semalam. - Foto AFP
Lelaki terbabit membakar dirinya di dalam kereta yang diparkir di hadapan Kedutaan Jepun di Seoul semalam. - Foto AFP
A
A
A

SEOUL - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki Korea Selatan nekad membakar dirinya sendiri di hadapan Kedutaan Jepun di Seoul semalam di tengah-tengah pertikaian diplomatik dan perdagangan yang semakin meningkat antara kedua-dua negara.

Mangsa berusia dalam lingkungan 70-an itu melakukan tindakan tersebut di dalam kenderaan yang diparkir di hadapan premis tersebut.

“Dia meninggal dunia ketika dirawat di hospital. Kira-kira 20 kanister gas pakai buang turut ditemukan dalam keretanya,” kata jurucakap pihak berkuasa.Menurut media tempatan, bapa mertua lelaki tersebut adalah mangsa buruh paksa ketika era pendudukan Jepun pada 1910-1945.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Korea Selatan menggesa Jepun menerima permintaan mereka untuk mengadakan rundingan pusingan baharu berhubung kawalan eksport yang telah mengancam rantaian bekalan mikrocip global dan telefon pintar.

Pengarah Kementerian Perdagangan di Seoul, Lee Ho-hyeon berkata, Jepun merancang untuk mengeluarkan Korea Selatan daripada ‘senarai putih’ negara yang boleh dipercayai untuk perdagangan bahan sensitif pada Rabu depan.

“Terdapat kebimbangan utama bahawa langkah tersebut akan memberi impak besar bukan hanya kepada ekonomi kedua-dua negara malah rantaian bekalan global,” ujarnya.

Bulan lalu, Jepun mengenakan sekatan lebih tegas ke atas eksport tiga bahan kimia penting kepada industri elektronik Korea Selatan atas alasan hilang kepercayaan terhadap hubungan dengan Seoul.

Langkah 'pembalasan ekonomi' itu dibuat sebagai respons terhadap keputusan mahkamah di Seoul yang mengarahkan firma di Tokyo membayar pampasan kepada mangsa buruh paksa ketika era perang. - Agensi

Artikel Berkaitan: