Sistem demokrasi berparlimen terus subur

Dewan Rakyat
Dewan Rakyat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Detik 10 pagi, 16 Julai 2018 menyaksikan senario baharu sidang Dewan Rakyat selepas kemenangan bersejarah PH pada PRU14.

PH diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini berada di blok kerajaan sementara Barisan Nasional (BN) yang menjadi kerajaan selama enam dekad pula berubah ke blok pembangkang bersama Pas dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipilih sebagai Ketua Pembangkang.

Dalam pada itu, sejarah turut terlakar dengan pelantikan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee daripada pembangkang BN sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen yang sebelum ini dilantik daripada kalangan parti pemerintah.

Pelantikan itu merupakan antara janji dalam manifesto PH pada PRU14 bagi mengembalikan wibawa Parlimen sebagai institusi penting untuk menyemak imbang kuasa eksekutif.

Parlimen 2018 turut diwarnai dengan kembalinya Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Dewan Rakyat yang bertekad menggerakkan reformasi Parlimen selepas memenangi PRK Parlimen Port Dickson pada 13 Okt.

Komposisi kerusi Parlimen turut berubah-ubah dengan pengumuman seorang demi seorang Ahli Parlimen Umno meninggalkan parti antaranya Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah); Datuk Seri Mustapa Mohamed (Jeli); Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis) dan Datuk Rozman Isli (Labuan).

Mustapa, Mas Ermieyati dan Dr Noor Azmi kemudian menyertai Bersatu sementara Rozman menyertai Parti Warisan Sabah.

Komposisi terkini Dewan Rakyat menyaksikan PH menguasai 128 kerusi dengan PKR mempunyai 50 kerusi, DAP (42), Bersatu (16), Amanah (11), Warisan (9).

Artikel Berkaitan:

Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang ditubuhkan hasil tindakan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP) keluar daripada BN pada awal Jun lepas pula menguasai 19 kerusi di Parlimen, dan ia juga telah menyatakan sokongannya terhadap PH.

Kerusi pembangkang pula menyaksikan BN mempunyai 40 kerusi dengan Umno menguasai 37 kerusi, dua kerusi MIC dan satu MCA sementara Pas (18 kerusi).

Masing-masing satu kerusi milik Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), STAR dan UPKO.

Pada 30 Nov, Mahkamah Pilihan Raya memutuskan kemenangan BN bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal dan tidak sah kerana wujud amalan rasuah.

Meskipun mempunyai lebih majoriti di Dewan Rakyat, usaha kerajaan PH untuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar menemui halangan susulan Dewan Negara masih dikuasai BN.

Dewan Negara menolak Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 itu pada 12 Sept lalu walaupun ia diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Ogos.

Sidang Dewan pada 2 Nov lalu pula menyaksikan Menteri Kewangan Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2019, yang pertama bagi kerajaan PH.

Tidak sunyi daripada pelbagai ragam anggota Parlimen, Parlimen 2018 bagaimanapun membuktikan sistem Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan terus subur di Malaysia, walaupun berlakunya pertukaran kerajaan. - Bernama