Dijel 3 tahun akibat pecah masuk, curi

Fairul Rizuan dipenjara 36 bulan kerana pecah masuk dan curi.
Fairul Rizuan dipenjara 36 bulan kerana pecah masuk dan curi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Padah melakukan jenayah pecah masuk dan mencuri peralatan katering dan penghawa dingin, seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.

Tertuduh, Fairul Rizuan Abdullah, 35, dijatuhi hukuman berkenaan setelah mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Noradila Ab Latif.

Mengikut pertuduhan, Fairul Rizuan telah memecah masuk sebuah kedai dan mencuri enam penghawa dingin, iaitu sebuah jenis ‘outdoor’ 1.0 HP, 4 penghawa dingin 1.5 HP dan sebuah penghawa dingin 2.0HP milik Azeman Chik @ Musa, 49.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 21 September lalu, kira-kira jam 12 tengah hari bertempat di sebuah kedai ‘aircond’ di Jalan Gong Badak.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah memecah masuk sebuah rumah di Kampung Gong Badak pada 13 Disember lalu, kira-kira jam 1.15 petang dan mencuri 20 set buffet, 5 tong gas, tiga periuk nasi, periuk pengukus, pinggan mangkuk, mesin rumput dan barangan katering milik Faieza Hazimee Mohd, 38.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi kedua-dua pertuduhan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana satu kesalahan yang dilakukan kali kedua atau yang kemudian, boleh dikenakan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Sebaik pengakuan bersalahnya direkodkan, Noradila menjatuhkan hukuman 18 bulan penjara bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman berjalan secara berasingan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan: