Parti mana bertanding tak penting, asal menang: Abd Rahman

Abd Rahman
Abd Rahman
A
A
A

SABAK BERNAM - UMNO Selangor yakin isu pengagihan kerusi tidak timbul antara parti itu dan Pas kerana ahli akar umbi sentiasa menyokong siapa sahaja calon dari dua parti bertanding pada PRU15.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr Abd Rahman Bakri berkata, soal pembahagian kerusi adalah di bawah bidang kuasa kepimpinan tertinggi kedua-dua parti berkenan.

"Saya yakin kepimpinan peringkat atas dan negeri sentiasa bermesyuarat serta berbincang mencari kata putus tentang pembahagian kerusi antara UMNO dan Pas," katanya kepada Sinar Harian.

Abd Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam berkata, apa yang lebih penting, kedua-dua parti terbesar Melayu itu sentiasa memberikan sokongan antara satu sama lain.

"Saya yakin pembahagian kerusi tidak menjadi masalah kerana kita ingin memastikan kerusi Parlimen dan DUN yang kita bertanding sama ada UMNO atau Pas memperoleh kemenangan," katanya.

Beliau berkata, bagi meraih kejayaan dan menumpaskan PH, kedua-dua pihak memerlukan pengorbanan serta tolak ansur.

"Saya yakin kita dapat capai keputusan terbaik jika kita meneruskan pemuafakatan ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pemuafakatan antara UMNO dan Pas tidak menimbulkan masalah kepada komponen BN lain.

Artikel Berkaitan:

"Malah Presiden MIC dan MCA masing-masing seolah bersetuju dan memberikan lampu hijau ke arah penyatuan ini.

"Kita harap parti komponen termasuk parti sokongan faham bahawa penyatuan Melayu dan Islam bukan sahaja menjamin kebahagiaan, tetapi memberi kesenangan kepada bukan Islam di negara ini," katanya.