Dua geng jenayah sarang burung walet tumpas

Mohamad (dua dari kiri) melihat sarang burung walet yang dirampas.
Mohamad (dua dari kiri) melihat sarang burung walet yang dirampas.
A
A
A

SEREMBAN - Kurang tempoh 24 jam, polis Negeri Sembilan berjaya menumpaskan dua geng jenayah yang terlibat kes pecah bangunan sarang burung walet, rompak dan samun.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad May Yusop berkata, tangkapan pertama melibatkan lapan suspek pada Selasa lalu dalam beberapa siri tangkapan di sekitar Senawang di sini dan Cheras, Kuala Lumpur.

"Suspek lelaki tempatan berusia 18 hingga 42 tahun dipercayai terlibat dalam kumpulan jenayah rompak dan dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun ini.

"Modus operandi suspek adalah menyasarkan kedai runcit, kedai 24 jam, asrama pekerja asing dan samun jalanan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau berkata, kumpulan berkenaan aktif melakukan jenayah antara jam 10 malam hingga 6 pagi sebelum bersembunyi di hotel bajet di sekitar Kuala Lumpur bagi mengelak dikesan polis.

Susulan penangkapan suspek kata Mohamad, polis berjaya menyelesaikan lebih 13 kes samun berkumpulan yang berlaku di daerah Seremban, Nilai dan Jempol.

"Kesemua suspek direman tujuh hari sejak Selasa lalu bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu pada Rabu lalu, lapan suspek disyaki aktif memecah bangunan dijadikan tempat pembiakan sarang burung walet ditahan di tempat letak kenderaan dan di sebuah hotel di daerah ini.

Artikel Berkaitan:

Peralatan yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan jenayah.
Peralatan yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan jenayah.

Mohamad berkata, tangkapan suspek susulan daripada laporan pecah lot kedai yang dijadikan tempat sarang burung walet yang mengakibatkan pemilik kerugian RM18,000, Ahad lalu.

"Kesemua suspek berusia antara 25 hingga 42 tahun yang mana lima daripadanya adalah warga Indonesia.

"Polis percaya dengan tertangkapnya suspek telah berjaya menyelesaikan 21 kes pecah bangunan sarang burung walet di sekitar daerah ini," katanya.

Menurutnya, hasil tangkapan, polis telah merampas empat kenderaan pelbagai jenis dan lima bungkusan mengandungi sarang burung walet serta wang tunai RM5,708.

Katanya, turut ditemui peralatan seperti pemutar skru, 'grinder', sepana, pemotong dan lain-lain yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah terbabit.

"Lima suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan dua daripada mereka turut mempunyai rekod jenayah lampau iaitu enam kes pecah rumah, curi dan dadah.

"Suspek dipercayai bergiat aktif melakukan jenayah ini sejak tahun lalu, kini direman tujuh hari bermula Rabu lalu mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan," katanya.

Mohamad (tiga dari kanan) menunjukkan antara barangan yang dirampas.
Mohamad (tiga dari kanan) menunjukkan antara barangan yang dirampas.