Akhirnya, seekor pak belang ditangkap

Pak belang yang diberi gelaran 'Awang Besol' oleh penduduk ini berjaya ditangkap kira-kira jam 3.30 petang tadi.
A
A

DUNGUN - [DIKEMASKINI] Selepas hampir 24 jam operasi mengesan dilakukan, akhirnya seekor harimau belang yang berkeliaran di Kampung Besol Lama di Bukit Besi, Dungun berjaya ditangkap kira-kira jam 3.30 perang tadi.

Harimau jantan itu ditembak dengan ubat pelali oleh anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu di kawasan belukar kira-kira 500 meter dari jalan utama kampung itu.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, sebelum ditembak, anggotanya yang melakukan operasi mengesan harimau itu sedang berehat di dalam belukar tersebut.

"Harimau yang ditangkap ini merupakan spesis Harimau Malaya dianggarkan berusia 5 tahun dan berat kira-kira 130 kilogram.

"Seramai lapan anggota kita terpaksa mengangkat harimau ini naik ke atas lori selepas haiwan itu didapati benar-benar tidak sedarkan diri setelah ditembak peluru pelali," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Abdul Malek berkata, harimau yang diberi gelaran sebagai 'Awang Besol' itu akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar di Sungai Perak untuk rawatan dan ditempatkan di situ.

Abdul Malek (tengah) bersama pemimpin penduduk dan anggotanya menunjukkan harimau yang berjaya ditangkap.
Abdul Malek (tengah) bersama pemimpin penduduk dan anggotanya menunjukkan harimau yang berjaya ditangkap.

Katanya, operasi mengesan akan diteruskan bagi menjejaki seekor lagi harimau belang yang berkeliaran di kampung itu sebagaimana yang didakwa penduduk.

Operasi mengesan itu yang masuk hari kedua hari ini membabitkan kekuatan seramai 20 anggota Perhilitan dan empat anggota polis yang dimulakan pada jam 6.30 pagi.

Sebanyak dua buah perangkap dipasang di dalam kawasan hutan kampung itu dan ayam dijadikan sebagai umpan dalam usaha untuk menangkap haiwan tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Besol, Nasharuddin Mohd Salleh melahirkan rasa lega dengan kejayaan penangkapan seekor daripada harimau terbabit.

"Alhamdulillah hasil kerja keras Perhilitan dan polis ia membuahkan hasil.

"Lega sikit penduduk di sini dan kita harap seekor lagi dapat segera ditangkap dalam tempoh terdekat sebab difahamkan Perhilitan akan teruskan operasi dan pantau kawasan ini selama tiga hari lagi," katanya.

Dua ekor pak belang dikesan berlegar-legar di Kampung Besol Lama semalam sekali gus menggemparkan penduduk dan kejadian itu turut tular di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Operasi kesan 2 ekor harimau diperluas

Pak belang berkeliaran di Bukit Besi