Kualiti udara SK Linggi kembali normal

Bacaan kualiti udara di SK Linggi kembali kepada paras normal.
Bacaan kualiti udara di SK Linggi kembali kepada paras normal.
A
A
A

PORT DICKSON - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mengesahkan kualiti udara di Sekolah Kebangsaan (SK) Linggi kembali normal selepas dicemari racun serangga yang disembur di sebuah ladang cili berhampiran sekolah semalam.

Pengarahnya, Norhazni Mat Sari berkata, keputusan itu berdasarkan pemeriksaan kualiti udara di kawasan sekolah berkenaan hari ini.

"Kami juga ke ladang cili berkenaan dan mendapati kualiti udara di situ juga normal dan tiada yang luar biasa.

"Siasatan kami juga mendapati tiada sebarang industri berhampiran sekolah tersebut kecuali ladang cili," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 24 murid alami simptom keracunan racun serangga

Sinar Harian sebelum ini melaporkan 24 murid SK Linggi mengalami gejala loya dan muntah dipercayai akibat terhidu racun serangga malathion yang disembur di sebuah ladang cili yang terletak kira-kira 500 meter dari sekolah itu.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 12 murid dirujuk ke Hospital Port Dickson dan 12 lagi telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Linggi melibatkan murid berumur antara 7 hingga 12 tahun.

"Sebanyak tujuh kes telah dimasukkan ke dalam wad di Hospital Port Dickson disebabkan oleh tachycardia manakala selebihnya telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Linggi.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua mangsa stabil dan tiada kematian akibat keracunan organophosphate dilaporkan," katanya.