Artis kaya ketika popular sahaja

Jalil Hamid, Aishah, Mila Jirin
Jalil Hamid, Aishah, Mila Jirin
A
A
A

Kehidupan artis ada pasang surutnya, bukan setiap masa mereka berada di puncak kejayaan dan mendapat tawaran berlakon mahupun menyanyi.

Malahan peluang yang ada itu hanya sementara. Sebab itu ada antara mereka menjadikan tempoh popular sebagai batu loncatan untuk kehidupan lebih cerah pada masa hadapan.

Kita juga sering kali membaca laporan media menceritakan kehidupan artis yang gah sebaliknya itu bukanlah kehidupan mereka yang sebenar.

Perkara itu diakui pelakon veteran, Abdul Jalil Abdul Hamid yang berkata, kekayaan seseorang artis itu diukur pada zaman popularitinya sahaja, bukan sepanjang masa.

“Artis ini macam harimau. Hari ini dia dapat makan kerbau tetapi esok lusa dia belum tentu dapat makan kerbau lagi.

“Bila zaman bertukar, dia sudah tidak mampu tangkap kerbau lagi. Apatah lagi dalam keadaan usia bertambah dan populariti semakin menurun,” katanya.

Jalil, 62, berkata, golongan artis kena sentiasa beringat bahawa dunia popular hanya sementara kerana ia tidak akan kekal.

“Bila sudah popular semua benda nak tunjuk. Kereta besar, rumah besar, duit banyak pun nak tunjuk dengan orang.

Artikel Berkaitan:

“Bersederhanalah dalam kehidupan dan jangan riak dengan kekayaan yang ada kerana ia tidak akan kekal selamanya,” katanya.

Sementara itu, penyanyi yang popular dengan lagu Camar Yang Pulang, Wan Aishah Wan Ariffin atau Aishah, 54, berkata, setiap orang mempunyai rezeki sendiri dan berbeza-beza pendapatan.

”Jadi, golongan artis kena pandai urus kewangan sendiri dan bijak berbelanja,” katanya.

Dalam pada itu,Norsyarmilla Jirin, 32, yang mempertikaikan tindakan artis yang suka menunjuk-nunjuk di media sosial berkata, tindakan golongan artis ini akan mengundang persepsi negatif.

“Saya melihat ramai yang suka menunjuknunjuk pakaian, kereta, rumah dan beg tangan mahal mereka di media sosial.

“Untuk apa kita tunjukkan kekayaan pada orang? Adakah ia dapat memberi sumbangan kepada ummah?” soalnya.

Bekas Juara Akademi Fantasia musim kelima itu berkata, sikap riak dan menunjuk-nunjuk itu dikhuatiri hanya akan memakan diri.

“Dari segi keselamatan amat berbahaya kerana ia akan menyusahkan diri sendiri juga,” katanya.

Ini adalah sebahagian pandangan artis yang pernah mewarnai industri hiburan kita sebelum ini.

No Image Caption

Benarkah kata-kata mereka? Atau anda juga ada pandangan sendiri? Ikuti Wacana Sinar Harian 118 yang bertajuk Realiti Kehidupan Artis: Betul-betul Kaya atau Sekadar Bergaya? yang akan diadakan 23 Julai ini pada jam 2 petang di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.

Wacana kali ini bakal menampilkan tiga personaliti hiburan iaitu, pengarah, Datuk Yusof Haslam; pelakon, Norman Hakim dan penyanyi, Ifa Raziah.

Menariknya wacana kali ini akan dikendalikan oleh moderator, Saharudin Musthafa dari Astro Awani.