Kerajaan Persekutuan luluskan 11 projek

Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Kewangan menyampaikan khabar gembira untuk rakyat Kedah dengan meluluskan 11 projek untuk dilaksanakan dengan segera.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Kerajaan Persekutuan sudah menerima rayuan Kerajaan Kedah bawah dua kementerian itu.

Menurutnya, sembilan projek diluluskan bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi iaitu pembinaan dewan serbaguna di Pokok Sena; pembinaan semula Masjid Muadzam Shah dan dewan serta kerja-kerja berkaitan di Kuala Negeri; peruntukan tambahan khas bagi menyempurnakan sebuah dewan orang ramai di Taman Gurun Jaya, Gurun.

"Pelaksanaan kerja-kerja tanah runtuh di Taman Selasih, Kulim; Kerja baik pulih dan naik taraf masjid dan surau di Kedah; pembinaan sebuah masjid di Changlun; pembinaan semula Masjid Kampung Tong Pelu, Pedu; pembinaan Kompleks Perniagaan dan Bazar di Sungai Petani serta kerja baik pulih Masjid Permatang Gedong di Kuala Muda," katanya, dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dua projek diluluskan bawah Kementerian Kewangan ialah projek 'Off-River Storage' (ORS) Sungai Merbok, membina menara tangki dan mengganti paip air di Merbok dan Tanjung Dawai dan projek kerja baik pulih Masjid Al-Fateh di Bandar Baharu, Kulim.

Katanya, projek-projek yang diluluskan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan menggunakan peruntukan Projek Khas Unit Perancang Ekonomi yang akan disalurkan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

"Projek baik pulih Masjid AlFateh di Bandar Baharu pula diselaraskan oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah.

"Kesemua 11 projek ini akan dilaksanakan secara tender terbuka dalam memberikan nilai faedah terbaik dan penjimatan selaras dengan tatacara perolehan semasa yang berkuatkuasa tanpa menjejaskan kualiti kerja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mukhriz bagi pihak kerajaan negeri dan rakyat Kedah merakam penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas perhatian dan keprihatinan terhadap keperluan masyarakat dalam meluluskan projek-projek ini.

Beliau yakin keputusan-keputusan tersebut mengambil kira pelbagai perkara, terutamanya memandangkan projek-projek tersebut bersifatkan peduli rakyat dan mensejahterakan masyarakat.

"Saya yakin kesemua projek ini dan projek-projek lain yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan PH memberi manfaat besar kepada rakyat dan menjamin kemakmuran Kedah," katanya.