KDN perluas kemudahan VOA di enam pintu masuk negara

KDN
KDN
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan meluluskan cadangan untuk memperluaskan Kemudahan 'visa semasa ketibaan' (VOA) di enam pintu masuk negara bagi menggalakkan kemasukan pelancong warganegara China dan India bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi satu kenyataan hari ini memberitahu, enam pintu masuk tambahan yang boleh mengeluarkan VOA adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah;Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah; Lapangan Terbang Antarabangsa Miri, Sarawak; ICQS Sungai Tujoh, Sarawak; Terminal Feri Labuan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah (Skypark Subang).

Menurut kenyataan sama, kemudahan VOA hanya diberikan kepada pelancong warganegara China dan India yang memasuki Malaysia melalui negara ketiga iaitu Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand sahaja, tertakluk kepada syarat melepasi tapisan kawalan imigresen dan bebas daripada ancaman keselamatan.

"Bagi merangsangkan ketibaan pelancong dan meningkatkan perbelanjaan semasa melawat Malaysia serta menggalakkan pelancong berbelanja lebih di dalam negara, kemudahan VOA telah ditambah baik dalam beberapa aspek seperti tempoh keberadaan di Malaysia bagi tujuan melancong dilanjutkan sehingga 15 hari berbanding 7 hari sebelum ini.

"Selain itu, kadar fi visa VOA dikurangkan daripada RM330 kepada RM200, syarat wang tunjuk dikurangkan daripada ASD1,000 kepada ASD500 dan dikemukakan sama ada dalam bentuk tunai, cek kembara, kad kredit, kad debit atau wang elektronik yang diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia dan tarikh pelaksanaan kemudahan VOA adalah berkuatkuasa mulai 15 Julai 2019," katanya.

Menurut KDN lagi, kerajaan mengalu-alukan kehadiran pelancong yang akan menyumbang kepada pendapatan dan perkembangan ekonomi negara.

"KDN menyasarkan kemasukan pelancong seramai 30 juta orang untuk TMM2020. Bagaimanapun, kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu, ejen pelancongan atau pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menyalahgunakan kemudahan visa yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan ketenteraman awam," katanya.

Kenyataan sama menyebut, Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia serta agensi-agensi penguatkuasaan lain akan sentiasa menjalankan operasi-operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) dan akan menyenaraihitamkan mereka daripada memasuki Malaysia sekiranya ditangkap dan dijatuhi hukuman.

Artikel Berkaitan:

Mei lalu, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi memberitahu kerajaan dijangka mengumumkan satu berita positif berhubung VOA buat pelancong selepas sambutan Aidilfitri pada Jun atau Julai.

Beliau berkata, kementeriannya sedang berunding dengan KDN untuk menyelesaikan semua isu berhubung VOA termasuk untuk menjadikan ia lebih mudah bagi para pelancong untuk memasuki negara, keperluan yang tidak terlalu ketat bagi meningkatkan jumlah kehadiran pelancong.