Berani sungguh ni, rempuh polis untuk selamatkan diri

Individu yang ditahan polis dalam Op Sarang di Felda Palong 4, kelmarin. - Gambar kecil: Muhd Nurhishamuddin
Individu yang ditahan polis dalam Op Sarang di Felda Palong 4, kelmarin. - Gambar kecil: Muhd Nurhishamuddin
A
A
A

JEMPOL- Seorang penagih dadah bertindak merempuh anggota polis dengan motosikal sebaik diserbu dalam Op Sarang di kawasan ladang kelapa sawit yang dikenali sebagai 'port' belakang Tokong Cina, Felda Palong 4 kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintenden Muhd Nurhishamuddin Hashim berkata, Op Sarang yang bermula jam 5.30 pagi hingga 3 petang itu memperlihatkan tindakan agresif lelaki berusia 30-an itu yang cuba meloloskan diri.

Selain menyebabkan kecederaan kepada dirinya di bahagian badan dan kepala, anggota polis yang dirempuh juga turut mengalami kecederaan di bahagian badan dan kaki.

"Kedua-duanya telah dibawa ke Hospital Jempol untuk rawatan.

"Selain suspek, 21 lagi lelaki berumur antara 28 hingga 54 tahun dipercayai penagih dadah ditahan.

"Op Sarang kali ini turut menahan seorang tokan dadah berusia 40 tahun yang aktif mengedar dadah sekitar kawasan Felda ini," katanya.

Beliau berkata, penahanan tokan dadah itu membawa kepada penemuan dua peket plastik bahan disyaki dadah jenis Heroin seberat 6.70 gram dengan nilai rampasan dianggarkan RM335.00," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhd Nurhishamuddin berkata, suspek adalah penganggur dan merupakan penduduk Felda berhampiran dipercayai ke lokasi untuk menjual dadah kepada 21 penagih dadah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Suspek (tokan) disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 5 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

" Bagi 21 lelaki berkenaan didapati positif dadah jenis Morphine berdasarkan ujian saringan urin dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a)ADB 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum sehingga 5 tahun penjara atau denda tidak melebihi RM5,000 dan juga dikenakan pengawasan selama tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun di bawah Seksyen 38B ADB 1952," katanya.

Muhd Nurhishamuddin berkata, hasil risikan port ini telah aktif sekitar dua minggu lalu dan dianggarkan pada satu-satu masa, seramai 20 hingga 30 penagih akan memasuki kawasan ini untuk mendapatkan bekalan.