Mayat terputus empat, dipercayai dilanggar kereta api

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSAH untuk bedah siasat.
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tragis dengan badannya terputus empat dipercayai akibat dilanggar kereta api di landasan di Taman Keladi, Sungai Petani,di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mayat pengawal keselamatan, ditemukan kakitangan penyelenggaraan Kereta api Tanah Melayu ( KTMB) kira-kira jam 9.46 pagi.

Menurut beliau, kakitangan penyelenggaraan KTMB itu membuat laporan polis selepas menemukan mayat ketika melakukan rondaan di sekitar kawasan itu.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian di kawasan terowong landasan itu, polis terus membuat pemeriksaan terhadap mayat tersebut.

"Bahagian kaki kanan ditemukan lebih kurang 200 meter dari jarak tempat dia dilanggar manakala beberapa bahagian anggota lain termasuk kepala ditemukan lebih kurang 350 meter," katanya.

Menurut beliau, serpihan anggota badan lain seperti otak, tempurung kepala, perut dan isi badan ditemukan berserakkan di sekitar tempat kejadian.

Adzli berkata, pihaknya percaya kejadian mungkin berlaku awal pagi melalui pemeriksaan ke atas keadaan mayat yang didapati masih kemerahan.

"Bagaimanapun, buat masa ini pihak KTMB masih belum memberi sebarang maklum balas berkaitan jadual kereta api bagi tempoh 24 jam," katanya.

Menurut beliau, MyKad mangsa ditemui di sekitar itu menunjukkan mangsa berasal dari Taman Keladi.

Sehubungan itu, mayat berkenaan dihantar ke Jabatan Forensik,Hospital Sultan Abdul Halim ( HSAH) untuk bedah siasat dan siasatan di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia