Pusat tahfiz terbakar, 9 pelajar sempat selamatkan diri

Sebahagian bangunan Madrasah Tahfiz Al-Quran Ibnu Talib yang terletak di Kampung Pulai di sini terbakar.
A
A

JASIN - Sembilan pelajar di Madrasah Tahfiz Al-Quran Ibnu Talib sempat keluar menyelamatkan diri sebaik terdengar bunyi penggera amaran kebakaran selepas sebahagian premis mereka yang terletak di Kampung Pulai di sini terbakar pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, beberapa pelajar turut terlihat kehadiran asap pada bahagian stor tempat penyimpanan peralatan asrama seperti tilam, bantal dan selimut sebelum api menjadi marak.

Mudir madrasah berkenaan, Ustaz Muhammad Hamid berkata, ketika kejadian, beliau baharu sahaja keluar mengambil bekalan makanan untuk keperluan pelajar apabila dihubungi menerusi panggilan telefon tentang kejadian itu.

Menurutnya, ketika kejadian kesemua pelajar terbabit sedang berehat menantikan waktu solat Jumaat.

Yang terjejas adalah bilik setor yang menjadi tempat menyimpan peralatan asrama seperti tilam, selimut dan bantal.
Yang terjejas adalah bilik setor yang menjadi tempat menyimpan peralatan asrama seperti tilam, selimut dan bantal.

"Pusat tahfiz ini baru memulakan operasi awal tahun 2019 dan ketika kejadian, terdapat seramai sembilan pelajar lelaki yang berusia antara 9 hingga 15 tahun.

"Saya bersyukur kejadian ini tidak melibatkan sebarang kecederaan. Mujur kebakaran hanya melibatkan bahagian stor tempat menyimpan peralatan asrama bagi persediaan jika berlaku pertambahan pelajar seperti tilam, selimut dan bantal," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Faisal Fuad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran itu pada jam 11.27 pagi sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dan BBP Padang Temu bersama 15 pegawai serta anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik bomba sampai api sedang marak pada bahagian bilik stor berkeluasan 10x10 kaki (3.048 x 3.048 meter) dan didapati kesemua pelajar telah pun keluar menyelamatkan diri.

"Kepantasan pasukan bomba berjaya mengawal api daripada merebak dan memusnahkan keseluruhan bangunan madrasah tahfiz.

"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.53 pagi sebelum padam sepenuhnya pada jam 1.13 minit tengah hari," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia