Enam Pengerusi PKR negeri sokong Anwar

Johari bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Johari bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Meskipun terdapat khabar angin mendakwa Parti Keadilan Rakyat (PKR) kian berpecah, beberapa Pengerusi PKR Negeri hari ini menyatakan sokongan penuh kepada presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setakat pagi tadi, enam daripada mereka dari Perlis, Kedah, Melaka, Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Kelantan telah menandatangani dokumen menyatakan sokongan kepada Anwar.

Hari ini, mereka turut menubuhkan Majlis Pengerusi-pengerusi Pimpinan Negeri PKR dan Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul diangkat menjadi koordinator majlis berkenaan.

“Enam daripada kami bermesyuarat hari ini dan mengambil ketetapan bahawa kami menyokong sepenuhnya presiden parti. Kami juga menyokong usaha keras presiden untuk membangunkan parti.

“Kami berdiri teguh di belakang beliau dalam menghadapi apa jua cabaran dan memberi komitmen tanpa berbelah bahagi kepada beliau dalam usaha memimpin negara ke tahap diharapkan rakyat.

“Kami yakin Anwar seorang pemimpin yang akan menunaikan janji parti kepada rakyat dan kami akan bersama beliau untuk pastikan semua ini terlaksana,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di sini pagi tadi.

Tambah Johari, semua Pengerusi PKR Negeri akan berkumpul petang ini di Port Dickson dan beliau menjangkakan semua akan menurunkan tandatangan sebagai sokongan kepada Anwar.

“Insya-ALLAH semua akan tandatangan petang ini. Begitupun, ada beberapa pengerusi yang belum dapat dihubungi tapi kita akan berjumpa petang ini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, mesyuarat melibatkan enam pemimpin negeri itu pada hari ini tiada kena-mengena dengan beberapa isu melibatkan pemimpin tertinggi PKR yang berlaku sekarang.

Semalam, seramai 28 pemimpin kanan PKR termasuk empat ahli Parlimen mendesak Anwar agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh memecah-belahkan parti.

Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan, mereka sebulat suara akan bersama Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Selain itu, mereka juga meminta Anwar mengukuhkan perpaduan anggota parti demi keutuhan PKR, Pakatan Harapan (PH) dan negara.

Mendahului senarai 28 Ahli MPP dan Ahli Parlimen PKR yang mengeluarkan kenyataan bersama berkenaan ialah empat Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, Tian Chua, Ali Biju dan Dr Xavier Jayakumar.

Ahli Parlimen PKR yang turut mengeluarkan kenyataan bersama itu ialah Steven Choong (Tebrau), Jonathan Yasin (Ranau), Willy Mongin (Puncak Borneo) dan Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya).