Polis tahan lelaki berkapak mengamuk di restoran

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang lelaki dan merampas sebilah kapak daripadanya selepas dia mengamuk di hadapan sebuah restoran di Mutiara Rini, Skudai di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisoner Dzulkhairi Mukhtar berkata, lelaki berumur 34 tahun itu dipercayai dalam keadaan mabuk dan dia ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang pengadu lelaki berusia 22 tahun.

“Menurut pengadu, semasa dia berada di restoran berkenaan pada jam 11.50 malam, lelaki bersenjatakan kapak itu menimbulkan kekacauan di kawasan tersebut dalam keadaan mabuk.

“Lelaki tersebut turut memukul seorang lelaki warga asing lalu pengadu bertindak untuk membantu lelaki warga asing berkenaan dan terus menghubungi polis,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, sepasukan anggota peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri kemudian menahan lelaki terbabit pada 11.58 malam di hadapan restoran itu selepas diserahkan pengadu.

Beliau berkata polis turut merampas kapak berkenaan dan lelaki itu kini disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabkan cedera dan ugutan jenayah serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana membawa senjata berbahaya. - Bernama

Artikel Berkaitan: