Bekas penjawat awam ditahan positif dadah

Beberapa individu yang ditahan dalam Operasi Aduan dibawa ke pejabat AADK Yan untuk disoal siasat.
A
A

YAN - Seorang bekas penjawat awam ditahan dihadapan rumahnya di Kampung Ruat ekoran positif dadah semalam.

Ketua Unit Pencegahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Yan, Mohamad Farid Mohd Noor berkata, lelaki berusia 55 tahun berkenaan ditahan hasil aduan orang awam.

Menurutnya, ketika diserbu lelaki berkenaan sedang berbual bersama rakannya dihadapan rumah.

"Beliau tidak melawan dan akur dengan tindakan pihak anggota penguat kuasa untuk menahannya," katanya.

Mohamad Farid berkata, unit penguatkuasaan dan keselamatan AADK Yan turut melaksanakan Operasi Aduan di beberapa lokasi di sekitar daerah Yan.

"Operasi yang melibatkan lapan anggota itu telah menahan tujuh individu yang disyaki penagih dadah.

"Hasil ujian saringan air kencing kesemua yang ditahan positif dadah jenis opiat dan methamphetamine," katanya.

Kesemua mereka yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 60 tahun akan direman 14 hari bermula semalam.

Menurutnya lagi, kes disiasat bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia