Konvensyen Nunjin perjelas konsep 'rahmatan lil alamin'

Mohd Sofi Abdul Wahab
A
A

MELAKA - Konvensyen Nunjin 2019 (Nadwah Ulama Nahdhan Jadidan) atau Himpunan Ilmuwan (Ulama) Kebangkitan Baharu menjadi medan kepada kerajaan untuk memperjelaskan kepada rakyat maksud sebenar konsep rahmatan lil alamin dalam usaha mendaulatkan agama Islam di negara ini.

Timbalan Pengerusi parti Amanah Melaka, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, fokus utama konvenyen kali ketiga itu adalah untuk memberi penerangan secara jelas kepada rakyat tentang konsep rahmatan lil alamin iaitu konsep membawa rahmah ke seluruh alam agar rakyat dapat bersama dalam menjayakan gagasan kerajaan ini.

"Rahmatan lil alamin juga telah diterima oleh pucuk pimpinan negara (Perdana Menteri) sebagai satu gagasan kerajaan untuk mengangkat agama Islam sebagai agama yang membawa rahmah dan bukan agama yang membawa kepada perseteruan atau menghukum orang lain.

"Kami perlu sentiasa berlapang dada dan melakukan perbincangan dalam menyelesaikan apa juga masalah dan tidak terus menghukum orang lain sebaliknya memberi peluang dan ruang untuk mereka berbincang secara adil dan terbuka,” katanya di sini hari ini.

Konvensyen Nunjin 2019 yang dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh itu dijangka mampu menarik lebih 1,300 peserta dan mereka berpeluang untuk menyuarakan sebarang persoalan, idea bahkan kritikan sepanjang konvensyen yang bermula dari 8 pagi sehingga 5 petang.

Mohd Sofi yang juga Timbalan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata isu yang akan dibincangkan dan dikongsi dalam konvensyen bertemakan ‘Mengisi Kemenangan, Memartabatkan Islam’ itu berkisar kepada pengisian kemenangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) setelah diberi amanah oleh rakyat untuk mentadbir urus negara ini.

Beliau berkata, apa yang diharapkan oleh kerajaan Melaka daripada konvensyen ini adalah dua perkara iaitu menghilangkan kedukaan rakyat daripada kesusahan hidup dan kejahilan yang mendorong kepada manusia untuk melakukan kejahatan.

"Ia bukan hanya sekadar satu slogan sebaliknya satu perkara penting yang menjadi tanggungjawab kerajaan negeri bagi membantu setiap rakyat yang ingin perubahan,” katanya.

Mohd Sofi menyeru semua rakyat Melaka dan juga ahli parti Amanah serta barisan parti lain dalam PH menyertai konvensyen sehari itu bagi memahami secara jelas gagasan yang dibawa oleh kerajaan dalam mendaulatkan agama Islam di negara ini menerusi konsep Rahmatan lil alamin.

Beliau berkata, sebagai tuan rumah, kerajaan negeri berasa bertuah kerana dipilih untuk julung kali menganjurkan konvensyen nasional itu dan mengalu-alukan kedatangan semua peserta ke Negeri Melaka Bandaraya Bersejarah. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia