Isu video intim, Rihana Petra sama naik

No Image Caption
A
A
A

SUHU politik negara bukan main panas akhir-akhir ini terutamanya berkaitan isu video intim yang didakwa mirip seorang menteri Kabinet terus diperkatakan.

Pengikut politik negara tersentak sebaik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuat kenyataan ‘melawan’ terhadap bosnya sendiri berikutan saranan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Mohamed Azmin letak jawatan sekiranya video itu dibuktikan benar.

Pemerhati politik melihat tindakan Mohamed Azmin memulangkan paku buah keras dengan meminta Anwar melihat cermin sewaktu menyatakan cadangan tersebut merupakan satu tindakan berani.

Sebenarnya, ‘perbalahan’ antara Mohamed Azmin dan Anwar sering terlihat dalam ciapan-ciapan sindiran di Twitter namun, inilah kali pertama kenyataan rasmi diungkap dan dilaporkan secara meluas di media.

Tidak terhenti di situ, semalam, seramai 28 pemimpin kanan PKR termasuk empat ahli Parlimen mendesak Anwar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh memecah-belahkan parti.

Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan, mereka sebulat suara akan bersama Mohamed Azmin di samping meminta Anwar mengukuhkan perpaduan anggota parti demi keutuhan PKR, Pakatan Harapan (PH) dan negara.

Pergolakan dalaman PKR semakin parah meskipun rata-rata pimpinan mengatakan hubungan mereka baik-baik sahaja.

Sedang isu dua pemimpin ini memuncak, tumpuan terarah pula kepada kisah Rihana Oksana Gorbatenko, 26, iaitu individu yang berkahwin dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Artikel Berkaitan:

Hampir setiap minggu ada sahaja cerita baharu tentang detik pertemuan pasangan yang sememangnya menjadi tumpuan semua.

Sebaik pengumuman Istana Kelantan agar rakyat tidak mudah mempercayai penyebaran pelbagai kisah melibatkan Sultan Muhammad V menerusi akaun Instagram itu, pemilik akaun berkenaan tampil membalas.

Individu itu memuat naik sebuah video temu bual yang berdurasi kurang seminit yang memaparkan kemesraan dan impian pasangan itu dalam perkahwinan mereka.

Yang pasti, pengakhiran dua kisah yang menjadi tumpuan media dan ramai ini masih samar. Tidak tahu yang mana selesai dahulu.