Mendobi juga ada risiko

(Gambar kecil, Pupe Rahaizad Darsono)
(Gambar kecil, Pupe Rahaizad Darsono)
A
A
A

INI kisah suami yang membantu membasuh pakaian isteri di kedai dobi kerana mesin basuh di rumah rosak. Setelah pakaian dimasukkan ke dalam mesin pengering lalu ditinggalkan untuk ke kedai makan.

Setengah jam kemudian, kembalilah suami ke kedai dobi tersebut. Ketika mahu dikeluarkan pakaian yang siap kering, baru suami tersedar yang satu beg berisi baju dalam isteri telah ‘hilang’. Puas dicari tetapi tidak ditemukan. Apa penyudahan cerita, biarlah rahsia.

Kisah beg baju dalam yang hilang mungkin melucukan. Namun, kejadian pakaian dicuri di dobi layan diri memang berlaku.

Di Kuala Terengganu pada April tahun ini, semua pakaian yang ditinggalkan seorang wanita untuk dikeringkan di dobi layan diri ‘ghaib’ dipercayai dilarikan seorang lelaki.

Kes pakaian dicuri mungkin tak sepatutnya berlaku tetapi mungkin juga kerana kecuaian kita sendiri. Janganlah ditinggalkan pakaian yang dicuci. Selain berisiko dicuri, kasihan kepada pelanggan lain yang menunggu giliran untuk menggunakan mesin basuh atau pengering. Perlu diketahui bahawa pelanggan lain boleh mengeluarkan baju basuhan yang ditinggalkan jika sudah siap tanpa kebenaran pemiliknya.

Sebenarnya banyak kes yang berlaku di kedai dobi termasuklah kes kanak-kanak terperangkap dalam mesin basuh dan kes-kes jenayah lain yang dilaporkan.

Antara yang tular ialah kes samun di Taman Puteri Jaya, Sungai Petani, Kedah yang berlaku pada September tahun lepas menyebabkan kerugian melebihi RM10,000.

Dalam kejadian pada jam 7 pagi itu, dua orang suspek menyamun seorang wanita ketika membasuh pakaian bersendirian di dobi layan diri sebelum menyamun dua lagi kedai runcit 24 jam di kawasan yang sama.

Artikel Berkaitan:

Di Seremban pada 18 Julai 2018, berlaku kes samun di sebuah dobi layan diri di Taman Forest Heights, Senawang. Ketika kejadian, mangsa bersama beberapa pelanggan lain sedang mencuci pakaian apabila seorang lelaki memakai topi keledar penutup penuh memasuki premis lalu mengambil beg tangan mangsa.

Kes di Selayang lebih mengejutkan. Tindakan kejam seorang pemandu teksi memasukkan seekor kucing bunting ke dalam mesin pengering sehingga mati dirakam kamera litar tertutup (CCTV di kedai dobi tersebut. Video tersebut tular dan mendapat kecaman rakyat Malaysia.

Namun, insiden yang paling mengerikan ialah kejadian letupan gas di kedai dobi layan diri tahun lepas. Menurut Suruhanjaya Tenaga (ST) ada dua kes yang dilaporkan iaitu pada 11 April di Taman Jinjang Baru, Kuala Lumpur yang mengorbankan seorang pelanggan wanita dan pada 4 Oktober yang mengakibatkan dua beranak terbakar tubuh badan sebelum si bapa meninggal dunia.

Dilaporkan kira-kira 2,000 dobi layan diri di seluruh Semenanjung Malaysia dan Sabah mungkin terdedah dengan bahaya letupan ekoran tidak mempunyai kelulusan dan lesen pengoperasian gas ST.

Timbalan Pengarah Pepasangan dan Peralatan Gas ST, Ir Shamsuddin Arshad berkata, setakat ini hanya 427 dobi layan diri direkodkan mempunyai lesen berkenaan dan berdaftar di bawah ST.

Katanya, tidak seperti premis dobi konvensional yang menggunakan tenaga elektrik untuk proses pengeringan, dobi layan diri menggunakan gas bagi menjimatkan kos.

Menurutnya lagi, terdapat premis dobi yang tidak mengikut spesifikasi standard minimum yang diperakui ST dan gagal membuat servis dan penyelenggaraan menyebabkan paip berkarat dan kebarangkalian untuk kebocoran itu ada.

Dalam bab keselamatan ini, kita tidak boleh berkompromi. Pengusaha dan bakal pengusaha dobi layan diri perlu mengutamakan keselamatan pelanggan dengan mendapatkan kelulusan dan lesen yang sah daripada ST jika tidak mahu dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Bekalan Gas 1993 dan Peraturan-peraturan Bekalan Gas 1997, termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara atau kedua-duanya.

Di kawasan rumah penulis banyak kedai dobi namun hanya satu jadi pilihan. Selain kedainya bersih, ada pekerja selenggara, lokasi pondok polis yang betul-betul di sebelah kedai dobi itu memberikan rasa selamat tatkala mendobi tidak kira pada waktu siang ataupun malam.

Mungkin selepas ini membasuh baju di rumah boleh dianggap ‘lapuk’ dek banyaknya kedai dobi yang dibuka. Pada hemat penulis, membasuh di kedai dobi lebih mudah dan berbaloi. Dan daripada pemerhatian, aktiviti mendobi ini umpama me time buat golongan ibu mahupun bapa. Mungkin ini sahaja waktu yang boleh dijadikan ‘alasan’ untuk melepak di kedai mamak sementara menunggu pakaian siap dibasuh.

Terbaru, kes berlaku di Gombak pada Selasa lalu, bakul dobi pun kena curi ya!

*Pupe Rahaizad Darsono ialah Penolong Editor Sinar Harian