Tingkat atas 12 lot rumah kedai terbakar

Api marak membakar deretan 12 lot rumah kedai di Jalan Jubilee.
A
A

IPOH - Tingkat atas 12 lot rumah kedai dua tingkat di Jalan Jubilee, Taman Jubilee di sini musnah dalam satu kebakaran malam ini.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Mohd Khairul Jamil berkata, sejumlah 72 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 8.04 malam.

Mohd Khairul
Mohd Khairul

"Operasi pemadaman melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Meru Raya serta Pasir Pinji dengan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bercham, Pasir Pinji dan Pekan Baharu.

"Setibanya di tempat kejadian, api marak membakar premis yang diperbuat kayu. Api berjaya dikawal jam 9.45 malam sebelum padam sepenuhnya pada jam 10.15 malam," katanya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awam, kebakaran itu bermula dari pusat snuker namun, tiada mangsa yang terlibat.

"Anggota bertindak membuat pemeriksaan lanjut dan disahkan negatif tiada mangsa. Berdasarkan maklumat, kesemua premis berkenaan tiada penghuni.

Bomba mengawal kebakaran di tingkat atas 12 lot rumah kedai dua tingkatdi Taman Jubilee, hari ini.
Bomba mengawal kebakaran di tingkat atas 12 lot rumah kedai dua tingkatdi Taman Jubilee, hari ini.

"Bagaimanapun, punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Premis ini dianggarkan 40 peratus terbakar," katanya.

Saksi, T Ananthnaidu, 35, bertindak menghubungi bomba selepas terlihat asap tebal keluar dari bahagian premis snuker dari tempat kerjanya.

"Saya terus menghubungi majikan dan meminta pelanggan-pelanggan hotel untuk mengalihkan kenderaan mereka yang parkir berhampiran agar kereta mereka tidak terkena dengan bahang kebakaran," katanya.

Sementara itu, Madam Chee, 67, yang menjalankan perniagaan menjual aksesori dan alat ganti kereta di bahagian bawah bangunan berkata, dia menerima makluman kebakaran itu daripada seorang pekerja hotel sekitar jam 8.30 malam.

Bomba mengawal kebakaran di tingkat atas 12 lot rumah kedai dua tingkatdi Taman Jubilee, hari ini.
Bomba mengawal kebakaran di tingkat atas 12 lot rumah kedai dua tingkatdi Taman Jubilee, hari ini.

Katanya, sepanjang lebih 50 tahun berniaga di situ, ini kali pertama kebakaran besar berlaku.

"Bangunan ini memang dah lama kalau tak silap saya sudah lebih 60 tahun, dulunya pusat hiburan sebelum dijadikan lot perniagaan.

"Saya antara yang terawal berniaga di sini, harap tak banyak yang rosak dan bangunan ini masih boleh digunakan, jadi kita boleh berniaga di sini lagi," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia