Angkat Baling sebagai pusat pelancongan domestik

Mansor (dua dari kanan) berjumpa dengan pemilik Kedai Roti Bakar Mat Noi Route, Zarazillah Muhamad Zahari (kiri).
Mansor (dua dari kanan) berjumpa dengan pemilik Kedai Roti Bakar Mat Noi Route, Zarazillah Muhamad Zahari (kiri).
A
A
A

BALING - Puluhan produk pelancongan di Baling berpontensi dibangunkan sebagai pusat pelancongan peringkat domestik.

Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Daerah Baling, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, sumber alam seperti sungai, gua termasuk flora dan fauna di Baling sesuai dijadikan sumber ekonomi kepada penduduk.

Menurutnya, daerah Baling juga mempunyai warisan sejarah yang boleh diangkat sebagai produk pelancongan.

"Baling mempunyai kisah sejarah berkaitan Raja Bersiong yang menjadi sebahagian daripada sumber sejarah kita.

"Bahkan Baling mempunyai tempat-tempat pertempuran tentera dengan askar Jepun dan Komunis suatu ketika dahulu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau yang juga ADUN Kuala Ketil berkata, setiap kawasan ini mempunyai nilai begitu tinggi namun sayangnya tidak disedari ramai.

"Semua kawasan ini boleh menjadi tarikan kepada semua pengunjung dari luar Baling," katanya.

Mansor berkata, makanan serta peralatan tradisional di Baling turut mampu menjana ekonomi hiliran.

Artikel Berkaitan:

"Anyaman tikar, bubu, lesung tumbuk, kop, padi dan sebagainya boleh disenaraikan sebagai warisan tradisional yang perlu diangkat sebagai produk pelancongan.

"Sekurang-kurangnya ia boleh menjana pendapatan kepada sumber sedia ada," katanya.

Tambahnya, Persatuan Pencinta Alam Sekitar Baling akan membentangkan kertas kerja kepada Exco berkaitan bagi memastikan idea mengangkat Baling sebagai produk pelancongan dapat direalisasikan.