Keracunan: Sesi persekolahan SK Linggi ditangguh esok

Kerja menyah dan membersihkan mangsa yang terdedah dengan racun serangga berkenaan.
A
A

PORT DICKSON - Sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Linggi dibenarkan ditangguhkan sehari esok ekoran kejadian keracunan racun serangga, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan Dr Mohamad Rafie Ab Malek.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Zainudin Mohd Ali bagi tujuan pembersihan kawasan sekitar sekolah berkenaan.

"Segala aktiviti pada hari Sabtu dan Ahad akan dihentikan bagi tujuan yang sama untuk pembersihan. Sesi persekolahan akan dibuka semula pada hari Isnin sekiranya dalam keadaan baik. Bagaimanapun, kita akan lihat kembali keadaan.

"Sekiranya masih lagi belum pulih dan keadaan masih bahaya kemungkinan besar kita akan sambung cuti tetapi kalau keadaan baik kita akan jalankan sesi persekolahan seperti biasa " katanya.

Dalam kejadian itu, seramai 24 pelajar sekolah berkenaan dibawa ke Klinik Kesihatan Linggi untuk pemeriksaan dan daripada jumlah itu, 12 pelajar dirujuk ke Hospital Port Dickson dan kesemua mangsa dilaporkan stabil.

Kes keracunan racun serangga dipercayai berpunca daripada kerja-kerja meracun di sebuah kebun cili berhampiran sekolah. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia