39 pelajar sesak nafas, muntah

Tular gambar antara pelajar yang mengalami muntah dan sesak nafas di beberapa sekolah di Pasir Gudang. - Foto pembaca
Tular gambar antara pelajar yang mengalami muntah dan sesak nafas di beberapa sekolah di Pasir Gudang. - Foto pembaca
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 39 pelajar melibatkan lima buah sekolah di Pasir Gudang dikesan mengalami simptom muntah dan sesak nafas, pagi tadi.

Exco Kesihatan, Kebudayaan Dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar, berkata, lima sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort membabitkan seramai 30 pelajar.

Menurutnya, selain itu, SK Kopok yang mana enam pelajar terlibat, seorang pelajar dari SK Kota Masai dan SK Pasir Gudang 4 serta seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort.

"Sehingga jam 2 petang tadi, seramai 39 pelajar mengalami simptom sesak nafas dan muntah-muntah.

"Kesemua mereka telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pasir Gudang dan Klinik Kesihatan Masai.

"Walaubagaimapun, tiada pelajar yang dirujuk ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan susulan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd Khuzzan berkata, Jabatan Kesihatan juga telah mengambil sampel air kencing pelajar-pelajar terbabit untuk dianalisis bagi mengesan bahan yang menyebabkan mereka mengalami simptom sesak nafas dan muntah-muntah.

"Kerajaan tidak pernah memandang ringan mengenai kes yang berlaku di Pasir Gudang seperti dakwaan sesetengah pihak.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga hari ini agensi-agensi terlibat sentiasa mengadakan pemantauan dari masa ke semasa termasuk pemantauan kualiti udara di Pasir Gudang.

"Malah, saya dimaklumkan, Jabatan Alam Sekitar akan memberikan ganjaran kepada individu yang menyalurkan maklumat berhubung pencemaran alam sekitar terutama di Pasir Gudang," katanya.

Sementara itu, Wan Nor Pawan Chik berkata, anaknya, Nurul Nadhirah Sazali, yang belajar di tahun tiga di SK Tanjung Puteri Resort turut menjadi mangsa gangguan kesihatan pagi tadi.

Menurutnya, sebaik menerima panggilan daripada jiran yang memaklumkan kejadian pada 11.30 pagi, dia yang berniaga kek di gerai meninggalkan segala urusan dan bergegas untuk melihat keadaan anaknya.

"Keadaan di sekolah cemas ketika itu kerana ramai ibu bapa hadir bagi melihat keadaan anak.

"Saya terkejut apabila mendapati anak saya juga menerima kesan termasuk sakit dada selain tekak, malah ada murid yang mengalami simptom lebih buruk.

"Saya segera membawanya ke klinik berhampiran dan dia menerima rawatan serta pemeriksaan asas di situ," katanya.

Beliau berkata, anaknya disahkan doktor mengalami bengkak di bahagian tekak serta diberikan ubat-ubatan berkaitan.

"Sebelum ini, pada gelombang udara tercemar pada Mac lalu anak saya turut mengalami simptom pening kepala.

"Tidak mungkin anak saya alami sakit tekak, dada dan bengkak di tekak sekiranya ia hanya sekadar psikologi," katanya.

Dia berharap tindakan sesuai dikenakan kepada pihak yang bertanggungjawab selain penguatkuasaan kerap dijalankan termasuk memantau aktiviti pelepasan gas terutama pada waktu malam dari pihak industri di kawasan itu.