Ops minyak: Tiga lelaki warganegara India ditahan

Dua dari tiga warganegara India yang ditahan di sebuah stesen minyak di Jitra, dekat sini.
Dua dari tiga warganegara India yang ditahan di sebuah stesen minyak di Jitra, dekat sini.
A
A
A

ALOR SETAR - Tiga lelaki warganegara India ditahan dalam Ops Bersepadu (ops minyak) pagi tadi di sebuah stesen minyak di Jitra kerana tinggal lebih masa selain melanggar syarat pas lawatan.

Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, seramai empat pegawai imigresen daripada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kedah telah terlibat dalam operasi penguatkuasaan ini.

Menurutnya, operasi tersebut dilaksanakan bermula sekitar jam 10.50 pagi dan berakhir jam 11.10 pagi.

"Semasa operasi dijalankan terdapat seorang warganegara Malaysia dan tiga lelaki warganegara India bekerja di stesen minyak tersebut.

"Dalam operasi tersebut, empat orang telah diperiksa dan dari jumlah tersebut, tiga warganegara India telah ditahan dan mereka berumur lingkungan 24 sehingga 40 tahun manakala warganegara Malaysia pula telah dikeluarkan saman saksi bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan.

Zuhair berkata, siasatan awal mendapati bahawa mereka telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tinggal lebih masa dan Per.39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

Tambahnya, mereka ditahan di lokap Imigresen Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Imgresen Belantik, Sik.

Artikel Berkaitan: