Rakan muat naik status, video sebelum kemalangan

Ahmad Fahmi menunjukkan status dimuat naik Lidyawati sebelum rakannya itu terbabit dalam kemalangan.
Ahmad Fahmi menunjukkan status dimuat naik Lidyawati sebelum rakannya itu terbabit dalam kemalangan.
A
A
A

SABAK BERNAM - "Masya-ALLAH, tenang dua jam perjalanan bersama geng 'car pool' ke tempat kerja dengar zikir taubat," demikian status dan rakaman video dimuat naik Lidyawati Haris,35, di Facebook sebelum terlibat kemalangan.

Kemalangan yang membabitkan sebuah Perodua Bezza di Simpang 3 Jalan Sekolah, Kampung Banting di sini hari ini telah mengorbankan rakannya, Norzeera Ahmad, 39, yang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Kenderaan itu dinaiki tiga pensyarah Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) iaitu pemandu, Zubaidah Mohd Esa, 37, Norzeera selaku penumpang hadapan dan Lidyawati penumpang belakang.

Rakan sekerja tiga pensyarah itu, Ahmad Fahmi Mohd Zaini, 40, berkata, status itu dimuat naik Lidyawati ketika berada dalam kereta sebelum terlibat dalam kemalangan.

"Kami semua terkejut sebab Lidyawati baru saja memaklumkan di Facebook mereka tenang mendengar alunan zikir ke tempat kerja.

"Tak sangka mereka terlibat dalam kemalangan dan salah seorang daripada mereka (Norzeera) meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Ahmad Fahmi berkata, ketiga-tiga rakannya itu bergilir-gilir berkongsi kereta ke tempat kerja pada setiap minggu.

"Minggu ini giliran Zubaidah dan minggu depan giliran rakan lain pula.

Artikel Berkaitan:

"Saya difahamkan Zubaidah dan arwah Norzeera berulang dari Kuala Selangor, manakala Lidyawati pula dari Rantau Panjang, Klang ke PSIS," katanya.

Katanya, Norzeera yang sudah empat tahun berulang-alik tidak pernah menunjukkan raut penat atau bermasam muka meskipun berulang hampir 79 kilometer setiap hari.

"Beliau sepatutnya mengajar bagi subjek Operasi Restoran di politeknik ini pagi tadi.

"Penuntut pelik sebab pensyarah mereka tak sampai dan semua terkejut sebaik mengetahui arwah terlibat dalam kemalangan," katanya.

Ahmad Fahmi berkata, kali terakhir dia berjumpa Norzeera adalah pada Majlis Konvokesyen Ke-14 PSIS 13 Julai lalu.

Katanya, Allahyarham tidak ada menunjukkan sebarang perubahan, malah dia kelihatan ceria dan bersemangat menguruskan majlis itu bersama rakan pensyarah lain.

“Sepanjang mengenalinya, arwah dikenali warga PSIS, mesra pelajar dan rakan, tidak pernah marah serta cukup peramah,” katanya.

Jenazah Norzeera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat sebelum dibawa pulang ke rumah keluarganya di Persiaran Hamzah Alang, Meru Klang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pensyarah maut kemalangan, dua rakan lain selamat

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, kejadian jam 7.50 pagi berlaku membabitkan kereta Perodua Bezza dan sebuah motosikal jenis Suzuki.

"Kenderaan dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Kuala Selangor menuju ke Sungai Lang manakala sebuah motosikal jenis Suzuki dari sebuah kedai di Kampung Banting menuju ke rumahnya di Jalan Sekolah Kampung Banting," katanya.

Chee Khoon berkata, ketika kejadian, pemandu kereta terbabit cuba mengelak motosikal dari arah bahu jalan kiri untuk melintas ke simpang tiga Jalan Sekolah.

Bagaimanapun katanya, pemandu kereta gagal mengelak kerana jarak kenderaan terlalu dekat lalu merempuh motosikal terbabit sebelum terbabas dan terjunam ke dalam parit arah Sabak Bernam.

Dalam kemalangan itu, Norzeera disahkan meninggal dunia, manakala Zubaidah dirujuk ke Hospital Teluk Intan (HTI) berikutan hamil enam bulan dan Lidyawati cedera bahagian badan.

Penunggang motosikal, Mohammad Faris Azam Shah Shahrom, 20, parah pada kepala dan patah tangan kiri serta kaki kanan dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan lanjut.