Kerajaan sentiasa sokong sektor korporat pacu IR 4.0

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin - Foto BERNAMA
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sentiasa bersedia memberi sokongan penuh kepada sektor korporat untuk memacu Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, sokongan itu termasuk dasar terbuka untuk memastikan para pemain bukan sahaja mampu menjadi pengikut tetapi juga menjadi pemimpin industri.

Walaupun kerajaan mungkin hanya memberi sokongan terhad, sektor itu masih dapat mencapai banyak kemajuan melalui teknologi sedia ada, kata beliau dalam ucapan penutupnya pada Sidang Kemuncak Melangkaui Paradigma 2019 di sini, hari ini.

Yeo juga menekankan bahawa sektor korporat harus mengambil kesempatan untuk menembusi pasaran dengan menjadi lebih inovatif untuk bersaing di ruang global.

"Yang sangat penting bagi kami dan sektor korporat di negara ini ialah untuk menerima teknologi baharu, lebih bijak bagi kerajaan untuk berbuat demikian," katanya.

Sidang Kemuncak tersebut yang bermula semalam dengan tema "Mencipta Penyelesaian Digital Tersendiri”, mempamerkan teknologi canggih yang merangkumi idea teras automasi dan pertukaran data meliputi Revolusi Industri 4.0.

Sidang kemuncak selama dua hari itu dianjurkan oleh Serba Dinamik Holdings Berhad, penyedia perkhidmatan kejuruteraan bersepadu global.

Sidang kemuncak itu juga menyaksikan Sophia, robot humanoid sosial yang digerakkan oleh kecerdasan buatan, teknologi teras IR 4.0, yang ditonjolkan buat kali pertama di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sophia membuktikan betapa kecerdasan buatan canggih yang boleh menyuntik nilai tambah pada perniagaan kerana ia mengikat pelbagai proses berasingan melalui Internet of Things (IoT).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah berkata, sidang kemuncak itu mencapai matlamatnya untuk menyediakan peluang kepada pemain industri untuk memahami lebih lanjut mengenai Revolusi Industri 4.0.

"Matlamat utama Sidang Kemuncak adalah untuk menggabungkan perniagaan yang mengusahakan penyelesaian Revolusi Industri 4.0 berskala kecil dan mengumpulkan mereka bersama untuk memulakan idea, membincangkan konsep dan melaksanakan idea-idea ini untuk mengubah landskap digital Malaysia," katanya. - Bernama