MCPF seragam modul cegah jenayah

Kamal Affandi (berdiri) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada majlis tersebut.
A
A

KOTA BHARU - Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) akan mewujudkan modul pencegahan jenayah yang seragam di seluruh negara bermula September ini.

Naib Pengerusi MCPF, Kamal Affandi Hashim berkata, modul merangkumi tiga komponen asas iaitu pencegahan, pencelahan dan pemulihan yang relevan berdasarkan perkembangan semasa.

Menurutnya, nodul yang ada sebelum ini hanya dilakukan di negeri masing-masing tanpa penyelarasan menyebabkan kesukaran untuk melakukan pemantauan.

“Jadi modul yang seragam di seluruh negeri diperlukan untuk memudahkan penilaian dilakukan terhadap keberkesanan sesuatu modul yang sudah dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Ahli Jawatankuasa Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Grand Renai Hotel di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MCPF Kelantan, Datuk Abd Aziz Nawi.

Kamal Affandi (tengah) bersama ahli MCPF Kelantan pada Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Ahli Jawatankuasa Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Grand Renai Hotel hari ini.
Kamal Affandi (tengah) bersama ahli MCPF Kelantan pada Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Ahli Jawatankuasa Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Grand Renai Hotel hari ini.

Kamal Affendi berkata, modul baharu yang diselaraskan itu dapat membantu meningkatkan keberkesanan usaha mencegah jenayah dalam kalangan masyarakat selain memberi kesedaran mengenai jenayah kepada mereka.

“Kami melakukan kajian sebelum menghasilkan modul dan melihat berdasarkan perkembangan semasa yang dianggap relevan untuk dilaksanakan.

“Modul juga mengandungi intipati undang-undang dalam pelaksanaannya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Kamal Affandi berkata, jenayah harta benda membabitkan kecurian motosikal merekodkan jenayah paling tinggi di negara ini dengan jumlah 50,000 motosikal dilaporkan hilang dalam tempoh setahun.

“Masyarakat sepatutnya lebih peka terhadap tiga aspek dalam mencegah jenayah iaitu pelaku, sasaran dan peluang supaya perlakuan jenayah dapat dikekang,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia