Qatar boleh bantu ringankan beban pelarian di Malaysia

Muhyiddin Yassin - FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Muhyiddin Yassin - FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Qatar sedia bantu meringankan beban pelarian di Malaysia menerusi tabung kebajikan Qatar, kata Menteri Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kesediaan untuk membantu itu disampaikan oleh Penasihat Keselamatan Kebangsaan Emir Qatar, Mohamed Ahmad yang mengadakan kunjungan hormat kepada Muhyddin di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, negara Teluk itu boleh membantu kira-kira 150,000 pelarian di Malaysia yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan Rohingya dalam bidang kesihatan, pendidikan dan latihan.

"... saya mengambil kesempatan daripada kunjungan ini untuk bangkitkan cadangan supaya pihak Qatar membantu pelarian di Malaysia.

"Untuk membantu kita perlu menangani pelbagai masalah berkaitan pelarian dan kesediaan pihak Qatar ini boleh meringankan beban mereka," katanya.

Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, berkata beliau akan membawa perkara itu ke pihak Majlis Keselamatan Negara dan bantuan daripada tabung berkenaan akan diselaraskan bagi melancarkan lagi pengurusan bantuan.

Sementara itu, Mohamed Ahmad berkata, terdapat banyak cabaran dalam aspek keselamatan negara dan ini boleh dikurangkan menerusi kerjasama antara Malaysia dan Qatar.

"Cabaran keselamatan begitu banyak dan tidak ada bekerjasama antara satu sama lain mungkin terdedah kepada situasi yang sukar. Ini sebabnya saya di sini dan hendak bekerjasama dengan Yang Mulia, ia satu penghormatan besar dan ini pasti akan menghubungkan jembatan antara kedua-dua negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, mengulas laporan media mengenai China menghalang kapal peneroka minyak dan gas milik Malaysia dan Vietnam di perairan berdekatan Kepulauan Spratlys di Laut China Selatan, Muhyiddin berkata beliau belum memperoleh laporan lengkap berhubung perkara itu.

"Mungkin mereka lalu di situ tapi tidak ada apa-apa elemen yang begitu membimbangkan. Namun kita ambil perhatian tentang perkara itu," katanya lagi. - Bernama