Pindaan Akta Penyemakan Undang-Undang 1968 dilulus Dewan Rakyat

Mohamed Hanipa Maidin
Mohamed Hanipa Maidin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Penyemakan Undang-Undang (Pindaan) 2019 diluluskan Dewan Rakyat hari ini, sekali gus menjadi rang undang-undang ke-12 diluluskan sepanjang 12 hari persidangan yang bermula 1 Julai lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin ketika membentangkan RUU itu bagi bacaan kali kedua berkata, melalui pindaan berkenaan, Pesuruhjaya Penyemak Undang-Undang diberi kuasa di bawah Akta Penyemakan Undang-Undang 1968 untuk membuat apa-apa perubahan dalam mana-mana undang-undang bertulis.

Beliau berkata, ia untuk menunjukkan apa-apa pertukaran nama jawatan, pemindahan fungsi, tanggungjawab seseorang menteri atau pertukaran nama suatu kementerian dari semasa ke semasa.

Pindaan itu dibuat susulan daripada penyusunan semula agensi dan fungsi kementerian serta pertukaran nama kementerian sebelum ini.

"Terdapat keperluan untuk menangani sebutan dalam undang-undang sedia ada tentang nama jawatan menteri yang telah bertukar dan fungsi atau tanggungjawab yang telah dipindahkan kepada menteri yang lain," katanya.

Dewan Rakyat kemudian turut meluluskan usul memindahkan sejumlah RM22 bilion wang terimaan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) ke Kumpulan Wang Pembangunan.

Turut diluluskan ialah usul Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong, yang mencadangkan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggantikan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang daripada enam ahli Jawatankuasa Pemilih bagi tempoh mesyuarat Parlimen ke-14.

Dalam pada itu, Liew menarik balik usul bagi menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyiasat penyebaran Laporan Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-Syor yang dicadangkan bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri di dalam negeri Sabah kali keenam tahun 2017 oleh Bersih 2.0. Sidang dewan bersambung Oktober ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: