PKS Malaysia di landasan betul

Tan Sri Abdul Rahman Mamat
Tan Sri Abdul Rahman Mamat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengenalan Dasar Negara mengenai Industri 4.0 (INDUSTRY4WRD) dan perumusan Pelan Induk Perindustrian Keempat telah meletakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia di landasan yang betul dalam penerimaan IR 4.0.

"Ianya adalah satu permulaan yang baik dan kita berada dalam kedudukan yang betul bagi penerimaan serta penggalakkan IR 4.0 kepada PKS tempatan.

"Ini akan menjadi satu-satunya cara bagi PKS untuk berkembang lebih besar dan memasuki peringkat global pada masa hadapan," kata bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Abdul Rahman Mamat.

Abdul Rahman, sekarang ini merupakan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pra pelancaran Persidangan Pembuatan Pintar Antarabangsa 2019 (ISMC 2019) di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau turut menyaksikan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara penganjur ISMC 2019, Lean Smart Industry Solutions PLT dengan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Majlis Antarabangsa PKS & Keusahawanan-Malaysia (ICSMEE), Dewan Perdagangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLICC) serta Universiti Hokkaido.

Beliau ketika ditanya mengenai kesediaan PKS tempatan dalam menerima pakai teknologi-teknologi IR4.0 berkata memandangkan idea IR4.0 masih baharu di Malaysia, peserta industri perlu dididik dan mengubah cara tradisional menjalankan perniagaan.

"Tetapi terdapat kes di mana ada kilang yang sudah menggunakan teknologi dan mesin.

"Mereka hanya perlu menaik taraf kemudahan ini, ia juga merupakan cara termurah untuk menuju ke arah era IR4.0," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

ISMC yang akan berlangsung selama tiga hari, dijangka akan dirasmikan pada 18 Sept depan, ia bertujuan untuk berkongsi pengetahuan mengenai kejayaan pelaksanaan kesediaan, kemahiran kakitangan, keupayaan proses pembuatan, jangkaan peralatan serta pemprosesan dan penggunaan teknologi digital IR 4.0 di kalangan 600 peserta industri tempatan, antarabangsa dan pakar-pakar.

Menurut kenyataan ISMC 2019 yang dikeluarkan hari ini, sasaran perkongsian itu dibuat bagi membolehkan industri tempatan mencapai produktiviti bertaraf dunia, pengurangan kecacatan kualiti dan membentuk kesalinghubungan antara kilang-kilang, meningkatkan respons pelanggan serta global termasuk mengurangkan kos dan masa pengantara.

“Topik-topik yang mendapat liputan pada ISMC 2019 akan merangkumi kajian ke atas jurang semasa, pembinaan asas yang betul, menaik taraf proses dan pekerja, pemantauan kesediaan serta pelaksanaan teknologi termaju IR 4.0," katanya. - Bernama