Buka pejabat SPR di setiap daerah

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan perlu mempertimbangkan pemberian peruntukan yang lebih besar dan pembukaan pejabat di setiap daerah untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan suruhanjaya itu berfungsi dengan lebih baik.

Ahli Parlimen Kota Baharu, Datuk Takiyuddin Hassan ketika menjadi panel pada forum anjuran SPR di sini, hari ini berkata, ia susulan kelulusan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang dijangka menyaksikan pertambahan pengundi kepada 22.5 juta pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, peruntukan RM1 bilion dilihat munasabah bagi PRU15 memandangkan SPR membelanjakan kira-kira RM500 juta yang melibatkan 14.9 juta pengundi dan 240,000 petugas pada PRU14.

"Dari segi infra, SPR mempunyai seasonal office (pejabat bermusim) di seluruh negara. Masa pilihan raya yang menjadi pejabat SPR sama ada Pejabat Daerah atau Pejabat Tanah.

"Kalau kerajaan benar-benar serius memudahkan pendaftaran automatik, menyelesaikan masalah alamat dan sebagainya, perlu diwujudkan pejabat SPR di setiap daerah,” katanya pada forum bertajuk "Ke Arah Automatik: Keperluan Atau Kehendak Semasa”.

Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun. - Bernama

Artikel Berkaitan: