1,015 TV LED guna label keselamatan tipu dirampas

Pemeriksaan dilakukan ST ke atas sebuah kargo di Pelabuhan Klang baru-baru ini mendapati sejumlah 1,015 TV LED menggunakan label keselamatan ‘tipu’.
Pemeriksaan dilakukan ST ke atas sebuah kargo di Pelabuhan Klang baru-baru ini mendapati sejumlah 1,015 TV LED menggunakan label keselamatan ‘tipu’.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 1,015 unit televisyen diod pemancar cahaya (LED) bernilai RM190,000 dirampas hasil pemeriksaan sebuah kargo dilakukan Suruhanjaya Tenaga (ST) di Pelabuhan Klang baru-baru ini.

ST dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan itu dilakukan selepas menerima maklumat daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor mengenai kargo yang dieksport dari Nansha New Port, China.

"Hasil pemeriksaan, pihak ST yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Kawalselia Keselamatan, Mohd Elmi Anas mendapati bahawa label keselamatan yang dilekatkan pada TV tersebut adalah merupakan label yang dikeluarkan oleh Conformity Assesment Body (CAB) yang dilantik oleh ST untuk TV LED model lain.

"Dengan itu, ST mengesahkan bahawa terdapat penyalahgunaan label keselamatan oleh pengimport yang membolehkan menyebabkan pengguna ditipu," katanya.

ST seterusnya mengarahkan pengimport untuk menanggalkan label-label yang tidak sah tersebut, yang disaksikan sendiri oleh ST pada 11, 14 dan 16 Mei 2019 di Kompleks Kastam Pelabuhan Barat.

"Pengimport berkenaan turut diarah untuk memohon label keselamatan SIRIM-ST yang baru melalui permohonan ujian konsainmen dengan pihak Sirim.

"Bagi model TV LED yang masih tidak mempunyai Certificate of Approval (CoA) dari ST, pemohon diarahkan untuk memohon CoA sebelum ia boleh dibenarkan oleh pihak Kastam untuk masuk ke negara ini," katanya.

Justeru menurut kenyataan itu, pengimport barangan elektrik diingatkan untuk mendapatkan label keselamatan SIRIM-ST yang sah sebagai mematuhi Peraturan 98, Peraturan-Peraturan Elektrik 1994.

Artikel Berkaitan:

"Kegagalan mematuhi peraturan ini boleh menyebabkan kompaun tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya.

"Pihak pengimport juga diingatkan bahawa perbuatan menjual apa-apa kelengkapan elektrik sehingga menyebabkan bahaya kepada nyawa merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 37(1), Akta Bekalan Elektrik 1990. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya," katanya.