Kes rasuah Ku Nan: Hujahan resit bayaran RM2 juta esok

A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan esok bagi kedua-dua pihak dalam kes rasuah bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhujah berhubung penyerahan dokumen berkaitan resit pembayaran RM2 juta yang baharu dikemukakan di mahkamah.

Resit rasmi pembayaran RM2 juta sumbangan politik kepada UMNO dikemukakan oleh saksi pendakwaan ke-19, Pengarah Urusan Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd, Tan Sri Chai Kin Kong, semalam semasa memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim memaklumkan kepada mahkamah pihaknya telah menyerahkan beberapa dokumen kepada pihak pembelaan berkaitan dengan resit itu yang dikemukakan kepada mahkamah semalam.

“Kami difahamkan pihak pembelaan membantah di bawah Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah (penyerahan dokumen berkaitan resit) dan atas bantahan itu pihak pembelaan ingin berhujah mengenai perkara ini dan pihak kami akan membuat hujahan balas,” katanya

Beliau berkata, pihaknya juga mencadangkan supaya pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipanggil untuk membuat klarifikasi berhubung resit itu.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan berkata, berdasarkan Seksyen 51A itu, menjadi tanggungjawab pihak pendakwaan untuk menyerahkan dokumen berkaitan sebelum perbicaraan bermula.

Bagaimanapun, beliau berkata, mahkamah mempunyai bidang kuasa dan budi bicara untuk membenarkan dokumen tambahan diberikan selepas perbicaraan bermula.

“Jika dokumen diserahkan selepas perbicaraan bermula mahkamah perlu membenarkan tertuduh untuk meneliti dokumen berkenaan dan untuk memberi keadilan kepada semua pihak kami memohon supaya pihak-pihak diberi masa untuk membuat hujahan (berhubung dokumen dan memanggil saksi SPRM),” katanya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan esok untuk kedua-dua pihak berhujah mengenai peruntukan di bawah Seksyen 51A itu sebelum mahkamah memutuskan sama ada untuk membenarkan pihak pendakwaan memanggil saksi itu bagi memberi keterangan atau sebaliknya.

“Sama ada mahkamah akan benarkan pihak pendakwaan untuk panggil saksi ke-20 beri keterangan dahulu atau tangguh ke tarikh lain, saya ingin dengar kedua-dua pihak berhujah dahulu (sebelum buat keputusan),” katanya.

Resit pembayaran itu dikemukakan Chai ketika sesi pemeriksaan balas semalam selepas Tan bertanyakan sama ada beliau ada menerima resit, akuan penerimaan atau dokumen berkaitan sumbangan RM2 juta itu.

Dalam keterangannya sebelum itu, saksi itu mengesahkan pembayaran cek RM2 juta kepada Tengku Adnan yang telah meminta sumbangan daripada beliau untuk dana politik.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas.

Cek itu didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang Tengku Adnan mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Julia ketika ditemui pemberita selepas prosiding berakhir berkata, pihaknya baru menerima dokumen berkaitan resit itu pagi ini dan hanya dapat menyerahkan kepada pihak pembelaan petang ini.

Menurut beliau, pegawai SPRM itu adalah seorang daripada pegawai yang terlibat dalam penyiasatan kes itu. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia