Kuala Koh sudah bersih...

Orang asli Kampung Kuala Koh yang turut terlibat dalam program berkenaan.
A
A

GUA MUSANG - Pesekitaran kampung orang asli suku Bateq, Kampung Kuala Koh, sudah bersih selepas program Gotong Royong Perdana yang disertai lebih 300 sukarelawan dari pelbagai agensi dan NGO, hari ini.

Program julung kali ini mendapat kerjasama 25 agensi kerajaan yang diketuai Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Lebih empat jam memerah keringat bersama, landskap perkampungan ini nyata berubah dan bersih dari semak samun serta sampah sarap.

Timbalan Ketua Pengarah, Sektor Pelaksanaan Operasi Nadma, Zakaria Shaaban berkata, program ini merupakan usaha agensi kerajaan dan NGO bagi memastikan kawasan ini bersih selepas kampung terbabit diserang wabak demam campak sehingga mengakibatkan 15 kematian.

Katanya, program ini adalah bukti persepakatan di kalangan agensi kerajaan dan NGO dalam memastikan penduduk orang asli dapat menjalani kehidupan yang lebih baik selepas dilanda musibah penyakit.

"Program ini adalah titik permulaan kepada masyarakat orang asli khususnya di kampung ini agar lebih peka dengan tahap kebersihan dan kesihatan.

"Alhamdulillah, melihat kepada penyertaan dan sambutan di kalangan agensi kerajaan dan NGO, ia memberi gambaran yang baik dalam usaha murni ini.

"Dalam pada itu, kita berharap agar ianya tidak terhenti di sini dan pihak berkenaan perlu memantau kehidupan dan perkembangan masyarakat orang asli di sini agar insiden yang sama tidak berulang lagi," katanya.

Zakaria (dua dari kanan) menyaksikan penyerahan sumbangan makanan dari Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Ab Rahman kepada penghulu, Mohamad Pokok.
Zakaria (dua dari kanan) menyaksikan penyerahan sumbangan makanan dari Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Ab Rahman kepada penghulu, Mohamad Pokok.

Turut hadir, Penasihat Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Dr Mohamad Salmi Mohamad Sohod dan Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid.

Dalam pada itu, Zakaria memberitahu, pembinaan telaga tiub sudah siap namun ia kini masih belum boleh digunakan kerana di peringkat ujian kualiti air.

"Kemudahan ini akan memberi manafaat kepada penduduk di sini untuk menikmati bekalan air bersih," katanya.

Terdahulu, sejak 2 Mei lalu, seramai 15 orang asli suku Bateq Kampung Kuala Koh meninggal dunia selepas disahkan dijangkiti demam campak.

Akibat penularan wabak itu, kampung berkenaan diisytiharkan berada di bawah kawasan larangan zon merah sehingga 8 Julai lalu.

Meskipun larangan zon merah sudah dibuka, namun sehingga kini 162 pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital terpaksa dikuarantin di Pusat Penempatan Sementara Taman Etnobotani, bagi memastikan mereka bebas jangkitan.

Sementara itu, Hashim berkata, pesakit yang dikuarantin akan dibenarkan pulang ke kampung mereka selewat-lewatnya Isnin ini.