Kutip 1 tan sampah dalam masa sejam

Peserta Singgah Mesra Perangsang Selangor bekerjasama mengutip sampah di Pantai Bagan Lalang.
Peserta Singgah Mesra Perangsang Selangor bekerjasama mengutip sampah di Pantai Bagan Lalang.
A
A
A

SEPANG - Kira-kira 1 tan metrik sampah di Pantai Bagan Lalang di sini berjaya dikumpul dalam masa setengah jam oleh peserta Program Singgah Mesra Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) semalam.

Program dua hari itu mendapat sambutan yang menggalakkan menerusi pelaksanaan Program Qiamullail Siri 36 dan Hijau Bumi Tuhan yang diadakan di Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang.

Pengarah Bersekutu Perhubungan Pelabur dan Komunikasi Strategik, Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata, program berbentuk kerohanian itu berjaya menerapkan satu suasana baharu dalam membentuk sebuah persekitaran yang sihat dalam kalangan kakitangan dan masyarakat setempat.

Menurutnya, bertemakan 'Hijau Bumi Tuhan' itu juga dapat memberi peluang mendidik generasi muda mengenai kepentingan memelihara alam sekitar selain menyemai semangat kesedaran melalui pembersihan pantai yang dijalankan secara bergotong-royong.

Fauzi menyerahkan borang ahli Rakan Alam Sekitar kepada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik JAS, Mohd Amin.
Fauzi menyerahkan borang ahli Rakan Alam Sekitar kepada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik JAS, Mohd Amin.

"Kita mengajak semua keluarga kakitangan Perangsang Selangor dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandan Sepang, belia Kampung Bagan Lalang peka dalam memastikan khazanah alam di negara terus terpelihara.

"Hasilnya, kita berjaya mengembelengkan lebih 100 sukarelawan daripada pelbagai peringkat umur menyertai pelbagai aktiviti termasuklah membersihkan sampah di kawasan pantai seperti bahan yang tidak mudah terurai antaranya polisterin, botol plastik dan sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Penutup Qiamullail Siri 36 dan Hijau Bumi Tuhan yang diadakan di Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang.

Terbaharu katanya, pihaknya bersedia mengadakan kerjasama strategik bersama JAS.

Artikel Berkaitan:

Dalam program penutup itu, Mohd Fauzi turut melakukan simbolik Pelancaran Rakan Alam Sekitar dengan menyampaikan borang keahlian kepada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik JAS, Mohd Amin Ghazali dan menerima simbolik Sijil Rakan Alam Sekitar daripada pihak JAS.

Selain itu, Mohd Fauzi juga menyerahkan 10 tong sampah dan 10 batang pokok kelapa pandan untuk ditanam di sekitar kawasan pantai kepada Ahli Majlis Zon Sepang Putra, A Vijayarany.