Tiga kilang catat bacaan methyl mercaptan tinggi

Norlin (tengah)menunjukkan data bacaan kualiti udara kepada Wan Abd Latif (dua dari kiri)
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenal pasti tiga premis kilang mempunyai bacaan methyl mercaptan yang tinggi selepas insiden pertama pencemaran udara di Pasir Gudang dilaporkan.

Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar berkata, keputusan itu diperoleh menerusi proses penyisihan yang dilakukan.

Menurutnya, ketiga-tiga kilang yang mempunyai lesen untuk beroperasi itu terletak dalam radius tiga kilometer dari Sekolah Agama Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4 yang telah dikenakan perintah tahanan operasi kelengkapan.

"Ketiga-tiga kilang ini dikesan selepas JAS membuat pemeriksaan ke atas 257 kilang berasaskan bahan kimia di Pasir Gudang sepanjang operasi dari 20 Jun hingga semalam.

Norlin (tengah) menunjukkan data bacaan kualiti udara kepada Wan Abd Latif (dua dari kiri).
Norlin (tengah) menunjukkan data bacaan kualiti udara kepada Wan Abd Latif (dua dari kiri).

"Menerusi hasil pencerapan, didapati juga gas methyl mercaptan ini mempunyai ciri-ciri yang boleh menyumbang kepada gejala kesihatan sesak nafas dan muntah-muntah.

"Hasil bacaan yang direkodkan pada hari kedua dan ketiga pencemaran mendapati kilang berkenaan mengeluarkan bacaan 120 partikel per sejuta (ppm) melepasi tahap selamat pada paras 40 ppm," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Pengarah JAS negeri, Wan Abd Latif Wan Jaafar.

Sementara itu, Norlin berkata, daripada aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan, sebanyak tiga syor tindakan mahkamah diambil, 12 perintah tahan operasi dan 60 notis arahan dikeluarkan serta 136 kompaun dikenakan membabitkan nilai RM272,000.

"Sejak 8 Mac hingga kini, operasi penguatkuasaan telah meningkat sebanyak 40 peratus.

"JAS mengambil kira semua aspek pemeriksaan termasuk penggunaan dan penyimpanan bahan kimia di kilang dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan," katanya.

Dalam pada itu, Wan Abd Latif berkata, setakat ini, pihaknya telah mengenal pasti tiga kilang yang beroperasi secara haram di Pasir Gudang dan tindakan undang-undang akan diambil segera.

"Tiga kilang berkenaan adalah kilang yang menjalankan operasi barang kitar semula berasaskan besi dan sisa pepejal.

"Kita percaya lebih daripada itu kilang di kawasan berkenaan yang beroperasi secara haram dan berikutan itu, operasi secara bersepadu akan dilakukan secara berterusan untuk mengesannya," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia